JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) merampas 11 alas kaki bergambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya di Batu Pahat, Johor, sehari sebelum Aidilfitri lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid dilaporkan berkata, tindakan itu susulan aduan orang awam terhadap tindakan pasar raya terbabit yang menjual alas kaki berkenaan sempena sambutan Aidilfitri.
Katanya, pasar raya berkenaan juga sudah dipanggil bagi memberi kenyataan selain diberi amaran supaya lebih berhati-hati terhadap produk jualan yang tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.
BACA LAGI: [VIDEO] Ibu, bayi meninggal dunia kereta remuk terperosok bawah lori tangki
“Sebenarnya tindakan pemeriksaan dan pemantauan sudah dibuat sehari sebelum Aidilfitri susulan aduan awam, selain ia tular di media sosial.
“Hasil pemeriksaan, 11 unit alas kaki dengan gambar Kaabah itu sudah dirampas dengan pemantauan juga masih berterusan di seluruh negeri ini.
“Kenyataan tidak dikeluarkan sebelum ini bagi menghormati sambutan Aidilfitri selain meredakan kerisauan awam,” katanya pada Sabtu.
BACA LAGI: Budaya sebar kod QR tagih duit raya ibarat hina diri sendiri
Terdahulu, tular di media sosial berhubung alas kaki bergambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya terkenal di Batu Pahat.
Seorang pengguna memuat naik gambar alas kaki itu, selepas beliau terkejut apabila mengamati gambar tertera adalah Kaabah atau Baitullah Al-Haram yang menjadi kiblat bagi orang Islam terletak di Masjidil Haram, Makkah.
“Ingatkan sejadah sebab ada gambar Kaabah, tapi rupanya alas kaki untuk lap kaki,” katanya dalam satu hantaran di media sosial media tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram