Muat naik semula klip video lama, telefon bimbit dan kad sim pengendali MyNewsHub kena sita


  • Primer
  • Sabtu, 13 Apr 2024

MCMC merakam percakapan pengendali akaun media sosial MyNewsHub (kiri) di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, Selangor pada Jumaat. — MCMC

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam percakapan pengendali akaun media sosial MyNewsHub di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, Selangor kira-kira pukul 8:40 malam Jumaat.

Menurut MCMC melalui satu kenyataan media pada Sabtu, rakaman percakapan tersebut adalah susulan tindakan suspek yang memuat naik dan memainkan semula klip video lama dengan teks yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.

"Setelah selesai siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.

"Pegawai penyiasat menyita kad sim dan satu unit telefon bimbit milik suspek yang digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Jangan terpedaya video 'Tanya pasal kuarters je dah kena macam tu depan KSN' — JPA

BACA LAGI: [VIDEO] Ibu, bayi meninggal dunia kereta remuk terperosok bawah lori tangki

Tegas kenyataan itu lagi, MCMC memandang serius penularan video berdurasi 1 minit 10 saat dengan tajuk, "Tanya pasal kuarters jer dah kena mcm tu depan KSN!!".

"Muat naik kandungan yang mempunyai niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu pihak lain seumpama ini adalah melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

"Berdasarkan kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Awam, video tersebut merupakan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram