KERAJAAN akan menyegerakan penyediaan kemudahan yang perlu di wad kelas tiga Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kuala Lumpur demi keselesaan pesakit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad akan meneliti keperluan terbabit serta permasalahan lain untuk dibawa kepada perhatian Jemaah Menteri.
"Kita lihat sendiri macam kawasan wad kelas tiga itu panas sikit dan sesak, dan menteri (Dr Dzulkefly) akan bawa untuk perhatian Jemaah Menteri agar kita segerakan mana yang perlu," katanya pada Khamis.
Wad kelas tiga akan dinaik taraf demi keselesaan pesakit. — Gambar hiasan
BACA LAGI: Majlis Aidilfitri bertukar tragedi, 3 cedera berbalas tembakan di taman awam
Terdahulu, Anwar dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, diiringi oleh Dr Dzulkefly dan Pengarah HKL, Datin Paduka Dr Rohana Johan, melawat pesakit yang sedang dirawat di wad perubatan kelas tiga hospital itu.
Anwar berkata, beliau yakin Dr Zulkefly dan Dr Rohana dimaklumkan masalah yang mendesak dan perlu diberi perhatian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta kerajaan, bagi memastikan penyediaan prasarana yang lebih baik di hospital berkenaan.
Pada masa sama, Anwar mahu kajian menyeluruh dibuat tentang pemerolehan ubat-ubatan oleh semua hospital dan klinik kerajaan di negara ini agar tidak berlaku pembaziran dan kerugian.
"Apakah ubat-ubatan itu digunakan sepenuhnya, tidak ada pembaziran dan apakah keutamaan, itu kita perlu beri tumpuan kepada HKL kerana jumlah (yang diperlukan) lebih besar.
"Tetapi, kita juga kena beri tumpuan kepada klinik di Kapit, klinik di Manek Urai umpamanya... jadi hal ini dilihat keseluruhannya oleh kementerian dan kita buat keputusan," katanya lagi.
Sementara itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada HKL atas kecemerlangan prestasi hospital itu yang mendapat pengiktirafan dunia, dan beliau berharap pencapaian tersebut akan menjadi galakan kepada semua pihak untuk meningkatkan usaha dan khidmat mereka. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram