ISU cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming untuk menjadikan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) nampaknya semakin hangat diperkatakan.
Sebelum ini, Kor Ming ada menyuarakan pendapatnya tentang perkara tersebut bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan yang sudah diasaskan sejak 76 tahun lalu.
Kor Ming juga dilaporkan mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan UNESCO pada Jun 2023.
BACA LAGI: KPT, UNESCO bangunkan polisi khas OKU
Cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Unesco ditolak ramai pihak. — Gambar hiasan
Namun, cadangan tersebut ditolak sekerasnya oleh banyak pihak termasuk beberapa pemimpin Umno.
Ia juga termasuk Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Antara faktor penolakan cadangan tersebut adalah kerana ia disifatkan sebagai menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera.
Faktor tersebut disokong oleh Exco Perumahan Kebudayaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah dan menganggap usaha menjadikan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan UNESCO bukan sesuatu yang mudah.
Beliau turut memberi pandangan bahawa terdapat banyak lagi tempat menarik yang mempunyai unsur warisan boleh diketengahkan dan diwartakan.
Katanya, Tapak FRIM Forest Park Selangor (FRIM FPS), Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh dan kapal korek biji timah di Dengkil antara lokasi yang boleh difokuskan.
Pada masa sama, Asyraf Wajdi yang menyokong penolakan tersebut berkata, ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.
"Apabila sesebuah kawasan itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, maka secara automatik penduduk yang menghuni kawasan terbabit akan dianggap sebagai orang asal dan segala aspek berkaitan pendidikan, budaya dan bahasa akan turut diperakukan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Susulan itu, ada jugak pihak lain yang mengambil kesempatan menyuarakan cadangan tentang lokasi yang lebih sesuai untuk dicalonkan.
Bagi pelukis terkenal, Mohd Zawawi Zaid, dia berpendapat Kampung Baru di Kuala Lumpur lebih sesuai diangkat sebagai Tapak Warisan UNESCO.
BACA LAGI: UNESCO iktiraf Baitulmuqaddis Timur milik Palestin
Seni bina rumah tradisi Melayu dikatakan antara warisan menarik. — The Star
Tidak dinafikan, Kuala Lumpur sememangnya menjadi antara lokasi pilihan masyarakat tempatan termasuk pelancong asing.
Menurut Zawawi, Kampung Baru sesuai kerana kemeriahan dan kepelbagaian budaya yang menjadi tarikan istimewa bagi ibu kota tersebut.
"Kampung Baru KL adalah nadi Kuala Lumpur yang sebenarnya. Kerana bukan sahaja wujud sejak 1899, lebih seratus tahun lalu. Tetapi merangkumi semuanya.
"Kampung Baru KL pula aku sifatkan sebagai 'Kenali Kampung Baru, bererti kenali Kuala Lumpur', bandaraya yang berasal daripada aktiviti bijih timah, kini jadi kota metropolitan," tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tidak sekadar itu, Zawawi juga menganggap bahawa lokasi itu sesuai untuk dijadikan Tapak Warisan UNESCO disebabkan warisan budaya Melayu yang sudah bertapa lama.
Katanya, ekonomi, kebudayaan, seni warisan pertukangan rumah, masakan, ukhwah masyarakat dan kejiranan Melayu di Kampung Baru itu dapat diketengahkan kepada pelancong asing.
Ekonomi tradisi Melayu juga menjadi warisan yang perlu diketengahkan. — The Star
Baginya, bukan bangunan pencakar langit megah berdiri memenuhi ibu kota yang mahu dilihat oleh rakyat luar negara.
"Sebabnya mereka mahu kelainan, mahu melihat dan menghayati seni dan budaya bangsa kita. Mahu melihat seni bina rumah tradisi kita.
"Mahu merasai makanan kita. Mereka bukan hairan pun dengan bangunan-bangunan pencakar langit kita, yang mereka miliki di negara sendiri lebih hebat daripada kita," kongsinya.
Justeru, beliau menekankan agar satu-satunya warisan Melayu yang masih kekal di tengah kota itu perlu lebih dipandang dan diangkat ke mata dunia.
"Bukalah pintu rumah tradisi ini untuk pelancongan seperti kampung Morten di Melaka, jagalah, peliharalah untuk sekian lamanya.
"Kampung Baru ada sejarahnya, budayanya, warisan seninya, sesuai dengan tema UNESCO itu sendiri," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram