HARI raya yang kian ditunggu-tunggu sudahpun tiba. Pastinya ia membawa sinar kegembiraan dan keceriaan kepada seluruh umat Islam.
Tidak dilupakan juga terdapat pelbagai tradisi dan adat menyambut Aidilfitri terutamanya dalam kalangan masyarakat Jawa.
Adab sangat dititikberatkan dalam amalan beraya secara tradisi dalam kalangan masyarakat itu.
BACA LAGI: 'Kenapa Syawal esok bukan Khamis', ada jawapan rupanya Malaysia, Arab Saudi raya serentak
Berkumpul beramai-ramai antara aktviti yang perlu dilakukan ketika raya. — Gambar hiasan
Selain Melayu, Jawa antara etnik yang mengamalkan tradisi klasik sesama ahli keluarga dan diikuti jiran tetangga ketika menyambut lebaran.
Namun, semakin moden dan canggihnya dunia sekarang, semakin hilanglah segala adat yang diterapkan dalam masyarakat itu.
Justeru, terdapat empat tradisi wajib kebiasaannya dilakukan ketika Hari Raya Aidilfitri yang kini dilihat semakin pudar.
1. Munjung
Tradisi munjung dilakukan bersama jiran tetangga atau sesama ahli keluarga. — Gambar hiasan
Amalan mengunjung atau disebut 'munjung' dalam bahasa Jawa adalah aktiviti menghantar makanan kepada jiran tetangga beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri.
Tradisi itu sememangnya akan dilakukan dua atau tiga hari sebelum raya di samping dapat mengeratkan hubungan sesama saudara Islam.
Sesetengah orang akan memberi juadah raya seperti ketupat, rendang, kuah kacang dan lodeh. Namun, ada juga yang memberi lauk-pauk biasa mengikut kemampuan sendiri.
Budaya tersebut bagaimanapun kian pudar dan dilihat tidak lagi mengalir dalam diri masyarakat terutamanya kepada generasi muda atau penduduk di kawasan bandar.
2. Balalan (adat salam raya)
Tradisi salam raya juga dilakukan masyarakat Jawa. — Gambar hiasan
Balalan atau dengan nama lainnya, jaluk ngapuro iaitu tradisi bermaaf-maafan ketika raya turut menerima nasib yang sama kerana ia jarang sekali dipraktikkan.
Balalan juga dilakukan ketika raya sahaja dan ia merupakan sesi bermaafan antara golongan muda dengan yang lebih tua.
Walaupun ia seakan-akan sama dengan tradisi raya yang dilakukan masyarakat lain, tetapi teks khas ketika sesi bermaafan memberi sedikit perbezaan.
Ucapan yang biasanya diungkapkan berbunyi seperti, 'Ngaturaken sedhoyo klupatane kulo nyuwun penganpunten duso kulo zohir lan batin'.
Ia bermaksud, menyusun segala kemafaan, mohon diampun dosa zahir dan batin.
Manakala teks jawapan yang perlu diucapkan adalah 'kulo ngeh semantun nugi nyuwun ngapunten zohir lan batin' yang membawa maksud, 'saya pun begitu juga, mohon ampun zahir dan batin'.
3. Baraan
Baraan sering dilakukan secara ramai dan mengunjungi setiap rumah di kawasan perumahan. — Gambar hiasan
Setiap kali raya, pasti adanya majlis sambutan rumah terbuka dilakukan segelintir masyarakat.
Memiliki tujuan sama iaitu menghidangkan juadah raya sambil bersedekah, warga Jawa terutamanya di Johor mengamalkan konsep marhaban atau disebut baraan.
Marhaban atau baraan bermaksud selamat datang atau puji-pujian dilagukan untuk memuji ALLAH dan Rasulullah SAW.
Ia selalunya diamalkan ketika keraian dan musim perayaan membabitkan acara berkunjung dari rumah ke rumah penduduk setempat secara berkumpulan.
Kebiasaannya, tradisi itu dilaksanakan sama ada selepas solat Isyak malam terakhir Ramadan atau selepas solat sunat Aidilfitri sehingga tamat Syawal mengikut negeri.
Tradisi itu turut bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim di samping dapat mengenal jiran-jiran di satu kawasan sama.
Budaya baraan merupakan antara tradisi yang boleh dikatakan masih bertahan tetapi juga semakin menghilang ditelan zaman.
4. Adat menziarah
Adat menziarah dalam kalangan masyarakat Jawa dilakukan oleh golongan lebih muda. — Gambar hiasan
Ziarah-menziarahi antara amalan dan budaya yang diamalkan oleh seluruh umat Islam termasuk masyarakat Jawa.
Namun, adat tersebut menjadi lebih unik apabila ahli keluarga yang muda sahaja akan melawat ahli lebih tua di rumah.
Adat itu dilakukan sedemikian adalah untuk menunjukkan rasa hormat terutamanya dalam kalangan adik-beradik atau ibu dan anak.
Jika adik tinggal berjauhan, maka dia yang harus mengunjungi atau menziarahi kakak atau abangnya di kediaman mereka untuk menyambut raya.
Pada masa sama, adat balalan juga diamalkan ketika melakukan salam raya bersama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram