SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang dengan kesemua pemain bola sepak di Malaysia turut tidak ketinggalan untuk meraikannya.
Di saat para pemain tempatan akan bersama-sama keluarga dan pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran, lain ceritanya bagi bintang-bintang import di Liga Super yang meraikannya di perantauan.
Memandangkan cuti yang singkat serta masa semakin hampir untuk musim baharu Liga Super bermula, majoriti daripada pemain import akan meraikan lebaran di Malaysia bersama keluarga terdekat mereka.
Disebabkan itu, sambutan Aidilfitri oleh para pemain import di Liga Super telah membuatkan mereka mula jatuh hati dengan makanan Malaysia. Sebagai contoh, pemain tengah Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh mempunyai makanan kegemarannya yang tersendiri di Malaysia.
BACA LAGI: Aksi Piala Sumbangsih, derby Pantai Timur gamatkan pembukaan Liga Super 2024/25
Noor akan menyambut Aidilfitri di Malaysia. — Selangor FC
Naib juara Piala Asia 2023 bersama-sama Jordan ini berkata yang dia tak sabar untuk menikmati hidangan nasi lemak berserta rendang daging di pagi raya dalam sebuah video dikeluarkan Gergasi Merah di laman X (Twitter).
"Saya rasa, makanan kegemaran saya adalah nasi lemak dengan rendang daging," kata Noor dengan ringkas.
Selain daripada Noor, keriangan Aidilftiri turut dirasai oleh pemain Selangor yang lain seperti Faisal Halim, Sam Somerville serta Danial Asri.
Bagi pemain berasal daripada Pulau Pinang, Faisal jelas sekali menantikan hidangan laksa Penang yang menjadi makanan ikonik di negeri tersebut.
Sementara bagi Somerville, dia menggemari lemang, kuih seri muka serta air tebu untuk dinikmati bersama-sama keluarga pada sambutan Aidilfitri. Untuk Danial pula, hidangan lontong menjadi pilihan.
Skuad Selangor akan membuka tirai saingan Liga Super dengan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 10 Mei. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram