'Terima kasih ALLAH jagakan Abang Din,', warga emas hilang lepas keluar rumah ditemukan meninggal dunia tepi landasan ECRL Kuala Terengganu


  • Massa
  • Selasa, 09 Apr 2024

Arwah Abang Din yang ditemukan meninggal dunia dengan motosikal roda tiganya di tepi tapak pembinaan landasan ECRL, Terengganu.

SEORANG warga emas yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Baru, Serada, Kuala Terengganu, Terengganu pada Sabtu lepas, ditemukan meninggal dunia.

Muhammad Ngah, 67, atau lebih dikenali sebagai Abang Din itu dilihat kali terakhir ketika keluar daripada rumahnya menaiki motosikal Honda EX5 berwarna merah tiga roda dengan nombor pendaftaran TAV 9836 pada pukul 7.30.

Menurut adik iparnya, Anida Salwani Abdul Hadi, arwah Abang Din ditemukan tidak bernyawa pukul 9.45 pagi Selasa.

BACA LAGI: Warga emas ada sejarah penyakit jantung dikhuatiri hilang lepas keluar rumah di Kuala Terengganu

2632118

Muhammad (belakang, kanan) mempunyai sejarah penyakit jantung.

Perkhabaran duka itu dikongsikan Anida selepas menerima maklumat daripada sepupu arwah memaklumkan bahawa jasad Abang Din dijumpai di tepi tapak pembinaan landasan Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL) di Banggol Katong, Kuala Terengganu.

"Innalillah wainnalillahirajiuuun, al-Fatihah yang ikhlas dan baik-baik buat Allahyarham Muhamad Ngah, our dearest Abang Din.

"Baru menerima perkhabaran yang jenazahnya sudah ditemui pagi ni, ALLAH Maha Baik, makbulkan doa-doa kami untuk disatukan semula walaupun sudah tak bernyawa.

"Terima kasih ya ALLAH kerana jagakan Abang Din dan jemputnya pulang," tulisnya di Facebook.

Anida berkata, beberapa ahli keluarganya yang lain termasuk suaminya, Azis Ngah juga terlibat dalam operasi mencari arwah pada Isnin malam.

"Sebenarnya, malam tadi (Isnin) mereka beramai-ramai dari lepas Isyak hingga hampir Subuh mencari arwah.

"Tapi bila Azis balik rumah untuk rehat sekejap, ada dua ke tiga orang sepupu yang masih mencari beritahu perkara itu," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Disyaki cuba rentas sempadan, suspek sanggup terjun sungai ketika dipintas bot laju PDRM

2632105

Abang Din (kanan) ditemui tidak bernyawa selepas empat hari hilang.

Katanya, jarak lokasi ditemukan ke rumah arwah kira-kira 10 minit sahaja iaitu dalam tiga kilometer (km) dari rumah.

Anida menambah, arwah sebenarnya seorang peniaga bahan basah seperti sayur dan ikan menggunakan motosikal roda tiganya.

"Jenazah arwah jumpa dengan motor tu juga," katanya lagi.

Sementara itu, urusan pengebumian jenazah sedang diuruskan oleh semua ahli keluarganya.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan Muhammad yang tinggal bersama isteri dan tiga anaknya hilang selepas keluar rumah tanpa membawa barang peribadi dia termasuk telefon dan beg duitnya.

Perkara itu dikhuatiri keluarganya kerana arwah juga mempunyai sejarah penyakit jantung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram