[VIDEO] Polis Jempol terpaksa tembak 10 das, kejar lebih 50km hentikan pemandu lori ‘lalok’


  • Tular
  • Rabu, 10 Apr 2024

Tangkap layar sebuah motosikal dan dua kereta peronda polis terlibat dalam aksi mengejar sebuah lori di sebuah jalan raya di Jempol, Negeri Sembilan pada Selasa.

TULAR satu video di media sosial melibatkan sebuah motosikal dan dua kereta peronda polis terlibat dalam aksi mengejar sebuah lori di sebuah jalan raya di Jempol, Negeri Sembilan pada Selasa.

Video berdurasi 17 saat menunjukkan lori berkenaan meluncur laju di sepanjang jalan dengan sekurang-kurangnya dua buah kenderaan polis tersebut dilihat mengejarnya.

Kejadian itu juga berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain di lokasi kejadian sambil diiringi lagu raya dendangan Dayangku Intan, Senandung Hari Raya Untukmu.

BACA LAGI : [VIDEO] Kutuk berwajah 'alien', wanita rupanya diludah, ditampar bekas teman lelaki

Berdasarkan catatan data yang tertera di dashcam tersebut, kejadian itu berlaku pada pukul 1.04 petang Selasa.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan, lori itu dipandu seorang lelaki bersama kelindan ketika polis menghampiri kenderaan mereka di sebuah lokasi.

Pemandu lori berkenaan yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah bertindak memecut laju sebaik menyedari polis mengekorinya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook dalam satu kenyataan pada Rabu mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Beliau berkata, insiden tersebut berlaku apabila lori dipandu suspek secara tiba-tiba membuat pusingan U di garisan berkembar selepas menyedari terdapat sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan.

Chang Hook berkata, tindakan suspek itu menyebabkan berlaku satu kemalangan dengan sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 40 tahun.

"Sebaik melanggar motosikal berkenaan, suspek melarikan diri sebelum anggota polis mengejar lori berkenaan.

"Ketika melarikan diri, suspek memandu dalam keadaan merbahaya dan beberapa kali cuba menghimpit motosikal ditunggang anggota polis trafik sehingga hampir mencetuskan perlanggaran.

"Malah, tindakan suspek juga menyebabkan pengguna jalan raya lain hampir dilanggar," katanya.

Chang Hook berkata, ekoran situasi bahaya dicetuskan suspek, polis terpaksa melepaskan 10 das tembakan pada bahagian tayar bagi memberhentikan lori berkenaan.

BACA LAGI : [VIDEO] Cemburu punca individu tendang, tumbuk lelaki dan wanita dekat stesen minyak Bukit Indah — Polis

GKzRLQ4bIAEjwyS

Suspek berjaya ditangkap berhampiran sebuah ladang kelapa sawit selepas dikejar sejauh kira-kira 50 kilometer. — Twitter

Suspek bagaimanapun enggan berhenti, sebaliknya terus memandu lori tersebut dalam keadaan tayar sudah pecah.

Namun, pemandu itu akhirnya berjaya ditangkap berhampiran sebuah ladang kelapa sawit selepas dikejar sejauh kira-kira 50 kilometer.

Chang Hook berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek direman selama dua hari sehingga esok (Khamis) bagi membantu siasatan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram