PEMERGIAN warga emas, Muhammad Ngah, 67, atau lebih mesra dipanggil Abang Din yang akhirnya ditemukan meninggal dunia selepas hilang empat hari lepas masih tidak dapat dipadamkan dalam memori setiap ahli keluarganya terutamanya di kala seluruh umat Islam menyambut Aidilfitri bersama insan tersayang.
Berkongsi momen terakhir melihat lelaki itu pada Sabtu lalu, adik iparnya, Anida Salwani Abdul Hadi tanpa berselindung mengakui pemergian arwah Abang Din memberi kesan besar kepada isteri dan lima orang anaknya.
Abang Din merupakan peniaga barang runcit seperti ikan dan sayur dengan menggunakan motosikal roda tiganya.
Sebelum ini, Anida memberitahu, arwah mempunyai sejarah menghidap penyakit jantung dan kencing manis tetapi sudah semakin pulih.
Namun, keadaan Abang Din yang juga seorang peniaga barang runcit kecil-kecilan itu kembali merosot pada minggu kedua Ramadan dan hanya berehat di rumahnya yang terletak di Kampung Baru, Serada, Kuala Terengganu, Terengganu.
"Masa arwah nak keluar Sabtu pagi itu, memang dia baru baik demam dalam dua minggu juga. Jadi sepanjang puasa tu memang keluarga tak benarkan dia keluar berniaga pun, ditambah pula dengan keadaan cuaca terlalu panas.
"Hari dia nak keluar rumah tu pun dia tak cakap apa-apa. Cuma isteri kata, dia macam dah segar sedikit seperti sudah baik demam," katanya kepada Majoriti.
Katanya, mereka tidak menyangka bahawa ia kali terakhir dapat menatap wajah Abang Din dan menganggap arwah hanya keluar bersiar-siar atau ke rumah adik yang tidak jauh dari rumah.
Lebih menyayat hati apabila persiapan raya juga tidak sempat untuk dilakukan bersama tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.
BACA LAGI: Warga emas ada sejarah penyakit jantung dikhuatiri hilang lepas keluar rumah di Kuala Terengganu
Arwah (barisan kedua, tengah) merupakan anak sulung daripada sembilan beradik.
Katanya, persiapan itu biasanya dibuat pada hari terakhir Ramadan oleh anak-anak arwah.
"Mereka memang tak sempat pun beli baju atau kuih raya sejak arwah jatuh sakit, tambah lagi bila dia hilang tu.
"Tapi, bila sudah jadi begini, persiapan raya bukan lagi kepentingan kami juga, sambut sederhana sahaja," katanya lagi.
Anida berkata, malam Isnin dan Selasa sepatutnya hari bagi kesemua adik beradik dan ahli keluarga lain berkumpul untuk berbuka puasa.
Malangnya, ia merupakan hari duka buat lapan adik arwah termasuk isteri dan anak-anaknya.
"Arwah ada sembilan adik-beradik dan dia adalah anak sulung dalam keluarga ini.
"Sepanjang empat hari arwah hilang, isterinya sampai berdoa agar dapat jumpa dia dalam apa jua keadaan, hidup atau mati," ceritanya.
Anak-anak arwah bersama kawan dan ahli keluarga lain yang melakukan misi pencarian sejak Sabtu lalu.
Bukan itu sahaja, Anida sangat memuji tindakan anak-anak arwah yang sanggup bersengkang mata mencari bapanya selama dua malam sebelum jasadnya ditemui.
"Anak-anak arwah memang bagus, mereka dan kawan-kawan, sepupu turun mencari siang malam semenjak bapanya hilang.
"Adik-beradik arwah juga tak terlepas juga mencari di sekitar kawasan kampung itu," jelasnya.
Dalam pada itu, jenazah arwah Abang Din juga dikebumikan dekat dengan kawasan rumahnya di Kampung Baru.
Terdaulu, Majoriti melaporkan kehilangan arwah selepas keluar rumah tanpa membawa sebarang barang peribadi termasuk telefon bimbit dan beg duit.
Pada Selasa, Abang Din akhirnya ditemukan tidak bernyawa di tepi tapak pembinaan landasan Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL) di Banggol Katong, Kuala Terengganu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram