KEMENTERIAN Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan wang ehsan berjumlah RM172.3 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kerajaan Negeri Kelantan pada minggu lalu.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, MOF memaklumkan penyaluran dana itu bagi membiayai komitmen emolumen Kerajaan Negeri, di samping bayaran RM103.1 juta untuk obligasi Kerajaan Negeri Terengganu kepada kontraktornya.
Pada masa sama, ia turut memaklumkan pada 2023, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan wang ehsan petroleum sebanyak RM786 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan RM200 juta kepada Kerajaan Negeri Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani sentiasa bersikap adil dan saksama dalam hal pemberian kepada semua Kerajaan Negeri.
Hal itu dibuktikan melalui peningkatan Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri serta Peruntukan Pembangunan untuk semua negeri bagi tahun 2023 dan 2024.
Pemberian kepada negeri terbabit juga disalurkan kepada semua negeri secara serentak setiap bulan.
BACA LAGI: MP PKR tawar diri jadi peguam Akmal Saleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
BACA LAGI: Warga emas ada sejarah penyakit jantung dikhuatiri hilang lepas keluar rumah di Kuala Terengganu
"Kerajaan Madani komited memastikan bahawa wang ehsan dikhususkan untuk manfaat negeri Terengganu dan Kelantan, dengan keutamaan kepada perbelanjaan yang benar-benar membantu rakyat Terengganu dan Kelantan.
"Kerajaan sentiasa terbuka kepada perbincangan serta cadangan daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan berhubung penggunaan Wang Ehsan supaya dapat dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat Terengganu dan Kelantan,” kata yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan sama.
Berhubung dengan pemberian wang ehsan, MOF menjelaskan ia bukan merupakan pemberian Kerajaan Persekutuan yang termaktub dalam undang-undang.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut memaklumkan sebarang baki Wang Ehsan akan tetap digunakan untuk negeri Terengganu dan Kelantan melalui projek atau program berkaitan rakyat seperti program basmi kemiskinan dan projek infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat di negeri tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram