Meningkat 20 peratus, 8.4 juta bakal terima Sumbangan Tunai Rahmah sebelum Aidilfitri, jelas PM Anwar


  • Primer
  • Isnin, 01 Apr 2024

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa meneruskan bantuan STR dengan jumlah penerima ditambah kepada 9 juta pada 2024 yang memanfaatkan sebanyak 60 peratus rakyat dewasa.

KERAJAAN akan membuat pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 bermula Rabu (3 April) kepada semua penerima yang berdaftar menerusi pangkalan data bantuan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seramai 8.4 juta rakyat bakal menerima bayaran STR Fasa 2 yang melibatkan bayaran antara RM100 hingga RM650 sebelum Aidilfitri.

"Selain dikreditkan ke dalam akaun penerima, sumbangan tersebut akan disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat-peringkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI: Penjawat awam terima RM500 'duit raya' Aidilfitri mulai Jumaat

Tambah beliau lagi, bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana-rendah menangani peningkatan kos sara hidup, kerajaan telah menambah peruntukan program subsidi bersasar STR Fasa 2 sebanyak 20 peratus kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion pada tahun lepas.

Katanya, reformasi ekonomi yang diterajui Kerajaan Madani bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara, tetapi ia berbekalkan niat ikhlas untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.

"Reformasi ekonomi yang diterajui Kerajaan Madani bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara, tetapi ia berbekalkan niat ikhlas untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.

"Insya-ALLAH, kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat sejajar dengan penambahbaikan fiskal negara termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” ujar beliau.

BACA LAGI: Harga barang keperluan, ayam dan minyak masak masih rendah berbanding kerajaan sebelum ini — PM Anwar

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan.

"Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

"Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan," katanya.

Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my. Kementerian Kewangan ingin menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram