PEMANDU dan penumpang sebuah kereta cedera ringan apabila kenderaan dinaiki terbabas dan terbalik selepas dihimpit sebuah kereta lain dalam kejadian Kilometer 49.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Bentong, Pahang, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, insiden itu berlaku sekitar pukul 10.15 pagi.
Katanya, siasatan dijalankan mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila sebuah kereta jenis Proton Waja dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 56 tahun bersama anak lelakinya berusia 25 tahun berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis Honda di bahagian sisi.
"Kejadian itu menyebabkan kereta Proton Waja tersebut gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke kiri jalan masuk ke dalam longkang dan terbalik.
"Sebelum kemalangan, kedua-dua kereta didapati telah memandu secara cuai, melulu serta menghimpit dan membuat provokasi kerana tidak berpuas hati dari cara pemanduan kereta masing-masing," katanya dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: MP PKR tawar diri jadi peguam Akmal Saleh
BACA LAGI: Warga emas ada sejarah penyakit jantung dikhuatiri hilang lepas keluar rumah di Kuala Terengganu
Zaiham Mohd berkata, kereta jenis Honda itu dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Zaiham Mohd turut memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.
Terdahulu tular video di media sosial kemalangan membabitkan sebuah kenderaan setelah dipercayai dihimpit sebuah kenderaan lain.
Menerusi video berdurasi 41 saat itu, dua kenderaan terbabit dilihat dipandu secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram