Pengasas KK Super Mart mohon maaf kepada Agong, umat Islam


  • Primer
  • Rabu, 03 Apr 2024

Sultan Ibrahim (kiri) berkenan menerima menghadap Kee Kan di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada Rabu. — Facebook/SultanIbrahimSultanIskandar

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sesi menghadap itu dimaklumkan berlangsung selama 15 minit dengan Kee Kan tampil memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda dan seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ‘ALLAH’ di cawangan kedai serbanekanya.

BACA LAGI: Subsidi bersasar perlu, pastikan hanya kumpulan layak dapat manfaat — PM Anwar

BACA LAGI: Hasrat beraya di Sabah tak kesampaian, suami isteri maut kemalangan di Seremban tinggalkan bayi usia 8 bulan

Pada masa sama, Sultan Ibrahim bertitah menekankan supaya semua pihak termasuk KK Mart lebih berhati-hati terhadap produk dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan berulangnya insiden sedemikian.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office (RPO).

Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut mengingatkan agar tiada pihak mengambil kesempatan termasuk menghasut rakyat ketika berdepan dengan isu tersebut.

“Sekali lagi saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Seri Paduka Baginda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram