Wajib ganti puasa jika tak cukup 29 hari sebab kena raya awal


  • Massa
  • Sabtu, 06 Apr 2024

Mohamad Shukri berkata, ibadah puasa dan hari raya perlu dilaksanakan mengikut waktu dan tarikh di tempat seseorang itu berada. — Gambar hiasan

UMAT Islam yang menyambut hari pertama Aidilfitri di lokasi yang tarikh hari rayanya jatuh lebih awal perlu menggantikan puasa sekiranya jumlah puasa yang dijalaninya tidak cukup 29 hari.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, kesemua umat Islam wajib untuk berhari raya pada 1 Syawal meskipun jumlah puasanya tidak mencukupi atas faktor perbezaan tempat.

"Kalau orang kita pergi sana (tempat yang tarikh harinya jatuh awal), dia wajib berhari raya walaupun tak cukup 29 hari puasa. Sebab berpuasa itu haram pada hari raya.

"Jadi kita kena berbuka jugalah. Cumanya nanti dia kita kena ganti puasa satu hari itu selepas raya.

"Ini kerana dalam Islam bilangan puasa yang ada itu hanya 29 atau 30 hari," katanya ketika dihubungi Majoriti.

BACA LAGI: 'Dah jadi trademark', sikap buang sampah sepanjang Lebuhraya KL-Gua Musang masih tak berubah

ktbsimufti 1Kelantan Mufti Datuk Mohamad Shukri Mohamad

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

BACA LAGI: Umno Selangor perlukan pemimpin seperti KJ untuk 'comeback'

Bagi mereka yang pergi ke tempat masih belum jatuh hari raya meskipun sudah menjalani lebih 30 hari puasa, Mohamad Shukri berkata, mereka diwajibkan berbuka pada hari tersebut.

"Katalah kita pergi tempat itu, orang masih tak raya. Tapi patutnya kita dah raya sebab bilangan puasa dah 30 hari. Jadi dalam situasi ini dia dah boleh berbuka.

"Tapi dia kena raya sembunyi, tak boleh makan depan orang ramai sebab tempat di situ masih belum raya," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berita mengenai kejadian raya awal di sebuah tempat di Indonesia yang dilaporkan menyambut Aidilfitri pada Jumaat.

Menerusi laporan media tempatan di Indonesia, jemaah yang melakukan solat Aidilfitri di masjid kawasan berkenaan turut meliputi individu yang datang dari England, United Kingdom dan Malaysia.

Untuk rekod, umat Islam di kawasan tersebut menyambut Aidilfitri awal lima hari daripada keputusan Pimpinan Pusat Muhammadiyah Indonesia yang dijangka jatuh pada 10 April ini.

Sebelum ini, jemaah kariah di kawasan berkenaan turut memulakan puasa 1 Ramadan pada 7 Mac 2024 iaitu awal lima hari.

Sementara itu, Mohamad Shukri berkata, ibadah puasa dan hari raya perlu dilaksanakan mengikut waktu dan tarikh di tempat seseorang itu berada.

"Kalau kita di sini kita ikut pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang mewakili pemerintah. Kita kena patuh. Kita tidak boleh ikut negara lain ke apa sebab lokaliti itu sangat penting," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram