KECOH di media sosial selepas menerima berita tentang ratusan umat Islam di Desa Giriharjo, Panggang, daerah Gunungkidul di Jogjakarta, Indonesia yang menyambut 1 Syawal lima hari awal daripada tarikh jangkaan pada Jumaat.
Berdasarkan laporan agensi media Indonesia, warga kariah Masjid Aolia menunaikan solat Aidilfitri dan bertakbir raya seawal sebelum pukul 6 pagi Jumaat.
Hari Raya Aidilfitri disambut jemaah kariah masjid tersebut awal lima hari daripada keputusan Pimpinan Pusat Muhammadiyah Indonesia yang dijangka jatuh pada 10 April ini.
BACA LAGI: 'Dah jadi trademark', sikap buang sampah sepanjang Lebuhraya KL-Gua Musang masih tak berubah
BACA LAGI: MCMC rakam keterangan 4 individu sebar kandungan palsu penganjuran majlis tilawah al-Quran
Solat raya itu juga dilaporkan telah diimamkan oleh seorang imam bernama KH Ibnu Hajar Sholeh Pranolo atau dikenali sebagai Mbah Benu.
Menurut Mbah Benu, penentuan raya bagi jemaah Aolia adalah berdasarkan perjalanan rohani mereka.
"Keazaman ini berdasarkan kepercayaan dan jemaah Aolia bukan hanya di sini tetapi tersebar di seluruh Indonesia
"Jemaah menjaga toleransi antara umat beragama dan menghargai keputusan yang ada," katanya.
Sebahagian jemaah yang menunaikan solat Aidilfitri di Kompleks Masjid Aolia, Jogjakarta pada Jumaat. — Agensi
Bukan itu sahaja, Mbah Benu turut mengaku bahawa dirinya dapat menghubungi 'Tuhan' melalui panggilan telefon.
“Saya tidak menggunakan (cara) perhitungan. Saya telefon kepada ALLAH," dakwanya.
Mbah Benu turut mendakwa, jemaah masjid Aolia tidak berdaftar serta ada yang datang dari England, United Kingdom dan Malaysia.
Namun, dakwaan tersebut masih belum dapat disahkan sama ada ia benar atau tidak.
Sebelum ini, jemaah kariah Masjid Aolia turut memulakan puasa 1 Ramadan pada 7 Mac 2024 iaitu awal lima hari.
Sementara itu, Ketua Bidang Urusan Agama Islam, Pejabat Wilayah Kementerian Agama Indonesia, Jauhar Mustofa berkata, pihaknya tidak dapat memaksa jemaah Masjid Aolia mengikut penentuan hari raya seperti diputuskan pihak berkuasa.
“Kejadian itu bukan kali pertama berlaku, namun tahun ini ia jauh lebih awal (sambutan Aidilfitri berbanding keputusan yang diputuskan pemerintah),” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram