SEKALI pandang, anda mungkin akan tersilap faham dengan menyangka apa yang dilihat itu sebagai objek terbang tidak dikenali atau UFO.
Namun, sebenarnya ia bukanlah seperti yang dilihat dengan mata nyata.
Sebaliknya, ia merupakan fenomena aneh dan jarang berlaku terhasil daripada pelepasan gas volkano di salah sebuah gunung berapi paling aktif di Eropah, iaitu Gunung Etna, di Sicily, Itali.
Gambar mengenai fenomena dikenali sebagai cincin asap volkano itu tular selepas ia dimuat naik oleh seorang penduduk di Bronte, Sicily dikenali sebagai Maria Liotta pada Jumaat.
Menerusi video dikongsikan, beberapa asap berbentuk cincin yang berada di ruang udara gunung berapi berkenaan yang terletak lebih 3,300 meter dari aras laut.
Fenomena yang jarang berlaku itu bukan kali pertama direkodkan terjadi.
Ini kerana insiden serupa turut pernah dirakam berlaku sekitar Julai tahun lalu.
Mengulas mengenai fenomena tersebut, seorang ahli volkanologi daripada Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan Itali, Boris Behncke tampil memberikan penjelasan.
BACA LAGI: 'Dah jadi trademark', sikap buang sampah sepanjang Lebuhraya KL-Gua Musang masih tak berubah
Foto memaparkan beberapa asap berbentuk cincin yang berada di ruang udara gunung berapi Etna yang terletak lebih 3,300 meter dari aras laut. — Maria Liotta
BACA LAGI: Umno Selangor perlukan pemimpin seperti KJ untuk 'comeback'
Boris berkata, asap berbentuk cincin itu terhasil daripada campuran asap, wap dan gas lain yang dilepaskan daripada lubang gunung berapi pada kelajuan tinggi.
Ia boleh kekal di udara selama beberapa minit sebelum akhirnya hilang.
"Gas berbentuk cincin sedemikian dihasilkan oleh letupan gelembung gas dalam saluran sempit (di atas ruang magma), dan meletuskan gas pada kelajuan tinggi ke arah permukaan.
"Geseran di sepanjang dinding saluran itu memperlahankan pergerakan pecutan gas, berbanding dengan bahagian tengah saluran sehingga menyebabkan terjadinya bentukan cincin berkenaan, ujarnya.
Gunung berapi Etna sudah merekodkan letusan aktif sejak 3,500 tahun lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram