[VIDEO] 11 pendaki maut, operasi menyelamat tergendala gunung Marapi meletus


  • Benua
  • Isnin, 04 Dis 2023

Keadaan gunung berapi Marapi selepas berlaku letusan besar di Indonesia pada Ahad. — Agensi

SERAMAI 11 pendaki ditemui maut manakala tiga mangsa terselamat ketika letusan gunung berapi Marapi di Sumatera Barat, Indonesia pada Ahad.

Ketika kejadian, gunung berapi tersebut telah memuntahkan abu tebal setinggi tiga kilometer sekali gus menyukarkan pasukan penyelamat untuk mencari lagi 12 mangsa yang hilang.

Jurucakap Pasukan Mencari dan Penyelamat Indonesia, Jodi Haryawan berkata, seramai 75 orang jumlah mangsa yang berada di lokasi kejadian ketika itu.

"Pihak berkuasa sudah memberi amaran kepada orang ramai dan melarang penduduk untuk pergi ke lokasi itu.

"Letusan kecil yang berlaku pada Isnin menyebabkan operasi pencarian dihentikan dan terlalu berbahaya jika kita terus mencari sekarang,” katanya.

Jodi berkata, 49 pendaki sudah dipindahkan dari kawasan itu pada awal Isnin dan ramai yang melecur sedang dirawat.

Pada masa sama, tular pula satu video di media sosial memaparkan keadaan salah seorang pendaki yang merupakan mangsa letusan itu.

Dalam video tersebut, mangsa dilihat berlumuran debu itu meminta pertolongan ketika berada berhampiran kawasan gunung tersebut.

Bagaimanapun, Ketua Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Kota Bukittinggi, Zulhendri berkata, keadaan mangsa di dalam video itu masih belum dapat dipastikan lagi.

"Belum ada info sahih yang mengatakan dia selamat atau sudah meninggal kerana pasukan kami kini berada di pejabat Walinagari Batu Palano untuk operasi evakuasi pendaki yang belum turun," katanya, lapor agensi.

Untuk maklumat tambahan, Marapi merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di pulau Sumatera dan letusannya yang sangat kuat adalah pada April 1979, apabila meragut nyawa 60 penduduk di kawasan itu.

Namun, pada 2023, ia meletus lagi pada Januari dan Februari dan memuntahkan abu sekitar 75 meter hingga 1,000 meter dari puncak gunung.

Bukan itu sahaja, menurut agensi Volkanologi, Indonesia juga terletak di kawasan Pasifik yang dipanggil "Ring of Fire" dan mempunyai sebanyak 127 gunung berapi aktif. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram