SUKAN ekstrem atau sukan lasak merupakan antara hobi khusus untuk mereka yang benar-benar gemarkan aktiviti yang mencabar diri.
Rasa takut dan gentar kini diukur dengan kemampuan dan keberanian melakukan aktiviti yang mencabar walaupun ia sangat berbahaya dan berisiko.
Sukan juga dikatakan salah satu aktiviti yang dapat menghilangkan tekanan dan menjadi terapi minda atau kini sering dipanggil sebagai 'healing'.
Malah, ia turut membina hubungan manusia dengan alam dan dapat menerapkan nilai kecintaan terhadap kehidupan semula jadi kerana sukan ekstrem selalunya dilakukan di persekitaran yang sangat mencabar seperti gunung, laut, udara dan memerlukan kemahiran, ketahanan dan keberanian yang luar biasa.
Berikut Majoriti senaraikan 5 jenis sukan ekstrem yang popular.
Aktiviti 'boat rafting' menuruni jeram merupakan aktiviti yang kini semakin diminati ramai. — Gambar hiasan
1. Berkayak redah jeram
Sukan rekreasi berkayak meredah jeram dengan melawan arus ini mula mendapat tempat di hati pencinta sukan lasak sejak pertengahan tahun 1970-an lagi.
Bagi yang baru mencuba, pastinya mereka diburu rasa takut apatah lagi melihat kederasan air dan melalui cerun sungai berbatu yang menjunam boleh membuatkan sesiapa sahaja menjerit ketakutan.
Namun, perasaan itu akan berganti keseronokan apabila mula biasa dengan teknik mengimbang badan di atas kayak yang akhirnya menjadikan rasa 'ketagih' untuk mencuba lagi.
Aktiviti ini popular dilakukan di luar negara seperti di Rion Micos, Mexico; Litte River Canyon di Alabama, Amerika Syarikat dan lain-lain.
Jika di Malaysia lokasi yang terbaik adalah semasa musim hujan di Sungai Padas, Sabah: Sungai Selangor di Kuala Kubu Bahru, Selangor; Sungai Sungkai, Sungai Kampar, Sungai Tembeling di Taman Negara, Pahang.
Sukan base jump mempunyai pakaian tersendiri yang mana mereka perlu memakai payung terjun dan kadang kala pakaian bersayap direka khas untuk melambatkan kelajuan. — Gambar hiasan.
2. ‘Base jumping’
Sukan yang berasal daripada aktiviti ‘sky diving’ ini memerlukan anda terjun dari atas bangunan atau jambatan dengan ketinggian 100 meter menggunakan payung terjun.
Bagaimanapun untuk melakukan di bangunan tertentu, anda memerlukan permit untuk berbuat demikian.
Sukan ini banyak dilakukan di luar negara dan tempat-tempat yang popular adalah seperti Menara Eiffel, Jambatan Golden Gate, Angel Falls dan lain-lain.
Manakala di Malaysia, lokasi yang dirasakan sesuai adalah Gua Damai Extreme Park di Batu Caves, Menara Kuala Lumpur, Menara Alor Setar, Wisma Sanyan di Sibu, Sarawak dan Menara Tun Mustapha di Kota Kinabalu, Sabah.
Tapi jika anda baru dalam dunia ini dan ingin cari keberanian? Anda boleh cuba dulu Bungy Jump dekat Sunway Lagoon, Petaling Jaya okay!
Menyelam di dalam gua memerlukan peralatan yang sama seperti aktiviti menyelam. — Gambar hiasan
3. Menyelam di dalam gua
Aktiviti ini selalu dilakukan di dalam gua yang mempunyai paras air yang dalam.
Ianya agak berbahaya dan memerlukan peralatan yang sama seperti aktiviti menyelam skuba. Selain itu, sukan itu sesuai untuk golongan yang pakar menggunakan teknik selaman.
Malah, aktiviti ini memberikan pengalaman yang luar biasa yang mana anda berpeluang melihat keindahan sebenar gua semula jadi.
Penyelam juga dapat menikmati persekitaran gua yang unik dan luar biasa dengan pengalaman itu cukup mengujakan bagi pencinta alam semula jadi.
Tetapi aktiviti ini tidak sesuai kepada mereka yang takut dengan tempat yang sempit atau dipanggil klaustrofobia.
Klaustrofobia adalah takut berada di tempat kecil tertutup tanpa laluan keluar yang boleh membuatkan seseorang itu kegelisahan dan boleh mencetuskan panik.
Di luar negara, beberapa tempat yang popular untuk aktiviti ini ialah seperti Mount Gambier dan Blue Lake City, South Australia; Orda Cave, Rusia dan lain-lain. Sementara itu di Malaysia semestinya gua misteri Turtle Tomb berdekatan Pulau Sipadan, Sabah.
Volcano surfing dilakukan dengan meluncur dari atas gunung berapi atau lereng bukit. — Gambar hiasan
4. Luncur gunung berapi
Ini antara sukan ekstrem yang paling 'rare'!
‘Volcano surfing’ juga dikenali sebagai ‘volcano boarding’ menggunakan papan lapis atau papan besi.
Sukan luncur ini dilakukan dengan meluncur dari atas gunung berapi atau lereng bukit yang sangat mencabar dan berbahaya sekiranya tidak menggunakan peralatan atau pakaian yang selamat.
Ia bertambah ekstrem lebih-lebih lagi jika luncuran dilakukan di gunung berapi yang masih aktif.
Sukan ini dianggap masih baru walaupun sudah 10 tahun popular di negara barat.
Cerro Negro atau Black Hill di Nicaragua, Amerika Tengah adalah gunung berapi yang pertama menawarkan sukan ekstrem ini.
Rock climbing memerlukan peralatan lengkap untuk keselamatan manakala memanjat solo hanya menggunakan kekuatan fizikal. — Gambar hiasan
5. Memanjat secara solo
Aktiviti memanjat perseorangan tanpa menggunakan tali dan peralatan keselamatan juga antara sukan ekstrem yang menjadi kegilaan individu yang sukakan cabaran.
Ia memerlukan kekuatan fizikal serta mental untuk menawan permukaan batu dan cerun yang mencabar bagi menguji daya ketahanan pendaki.
Aktiviti ini boleh dilakukan di mana sahaja asalkan strukturnya tepat untuk memanjat.
Di Malaysia, banyak tempat sesuai untuk sukan mencabar ini seperti Tembok Damai di Batu Caves yang juga merupakan kawasan memanjat paling popular.
Selain itu, lokasi lain termasuklah di Bukit Takun di utara Kuala Lumpur, Gunung Mulu di Sarawak dan banyak lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram