PEJAM celik, umat Islam kini berada di minggu terakhir bulan Ramadan apabila salahlah satu daripada malam-malam terakhir ini merupakan malam lailatulqadar.
Kebiasaannya, masjid dan surau sudah memulakan bacaan doa qunut dalam solat witir sejak malam 16 Ramadan lagi sehinggalah bulan mulia itu berakhir.
Mungkin terdapat segelintir umat Islam musykil tentang keperluan membaca doa qunut dalam solat sunat berkenaan memandangkan ianya kebiasaan dibaca semasa menunaikan solat Subuh.
Bercakap soal itu, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan hukum berqunut pada solat witir adalah disunatkan mengikut mazhab Syafie.
Membaca doa qunut disunatkan pada rakaat terakhir solat witir.
Zulkifli Mohamad turut menjelaskan bahawa perbuatan berqunut pada separuh akhir Ramadan itu dibuat sebagai usaha memperoleh malam lailatulqadar.
Memetik kata-kata dari Ibn Rajab di dalam kitabnya, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Unais R.A, bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan lailatulqadar.
Maka, Baginda SAW menjawab:
رأيتُها فأُنسِيتُها, فتحرها فِي النِصفِ الآخِرِ
Maksudnya: “Aku melihatnya (lailatulqadar) dan terlupa akannya. Maka carilah lailatulqadar pada separuh yang terakhir — dalam bulan Ramadan.”
Oleh sebab itu, Ubai Ka‘ab berqunut dalam solat witir pada malam-malam separuh akhir Ramadhan kerana mengharapkan lailatul qadar padanya.
Walaubagaimanapun, Zulkifli Mohamad berkata, tiada masalah jika seseorang itu mahu beramal dengan berqunut dalam witirnya sejak hari pertama Ramadan lagi.
Justeru, perkara itu adalah baik dan juga merupakan pendapat sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafie yang tidak mengkhususkan qunut dalam witir hanya dalam bulan Ramadan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram