SEORANG lelaki warga asing menerima padah susulan tindakannya mengeluarkan kenyataan yang berbaur sensitif sekali gus menyinggung perasaan kaum Melayu.
Hantaran tersebut dibuat menerusi laman Facebook peribadi miliknya baru-baru ini.
Selain pemalas, individu bernama S****l bin A*****a itu menyifatkan tindakan kaum Melayu memboikot sebuah pasar raya yang terpalit kontroversi penggunaan kalimah ALLAH, sebagai satu tindakan kurang cerdik.
Terdahulu, pasar raya terbabit menimbulkan kemarahan umat Islam pada bulan Ramadan dengan menjual stoking bercetak kalimah ALLAH.
“Melayu ini kurang pakai otak. Semua mau boikot, esok ekonomi negara jatuh salahkan perdana menteri," katanya memberi respons terhadap isu berkenaan di Facebook.
Melalui satu hantaran berbeza, individu berkenaan kemudiannya menghina orang Melayu sebagai bangsa malas.
"Aku datang Malaysia dan berjaya dalam masa 10 tahun. Orang Melayu malas dan mamak kerja kuat," tulisnya.
Mamak yang admin viralkan pagi tadi...dah kena mengadap...tapi tiba-tiba mengaku FB kena hacked...siap sumpah junjung Al- Quran... kalau kau menipu...sah kena makan sumpah nanti pic.twitter.com/0uKq0mByDk
— MYNEWSHUB (@mynewshub) March 27, 2024
Pada masa sama, dia yang mengusahakan sebuah kedai makan di Manjung, Perak turut memuat naik dokumen pengenalan dirinya yang terpampang menunjukkan dia berasal dari India.
Susulan daripada hantarannya itu, sekumpulan individu datang bersemuka dengan individu berkenaan bagi menuntut penjelasan.
Namun dia telah menafikan mengeluarkan kenyataan kontroversi itu.
Individu tersebut mendakwa akaunnya telah digodam dan kenyataan itu ditulis oleh orang lain.
Bagi membuktikan dirinya tidak bersalah, dia nekad menjunjung sebuah al-Quran seraya bersumpah tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut di hadapan sekumpulan lelaki.
Video berkenaan turut tular dan menjadi bualan dalam kalangan warga maya dan rata-rata menggesa agar laporan polis ke atas lelaki terbabit dibuat.
"Biar polis membuat siasatan ke atas hantaran yang dibuatnya di media sosial walaupun dia telah meminta maaf," kata seorang pengguna Facebook. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram