Pamer stoking kalimah ALLAH: Pengasas KK Mart, isteri mengaku tak bersalah lukakan perasaan umat Islam


Pasar raya KK Mart baru-baru ini menjadi kontroversi susulan penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH di rangkaian serbaneka syarikat berkenaan. — Gambar hiasan

PENGASAS dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada Selasa atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung penjualan stoking tertera kalimah ALLAH di premis berkenaan.

Isteri beliau yang juga merupakan pengarah syarikat, Datin Seri Loh Siew Mui turut didakwa atas kesalahan sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 298 KK yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-duanya, Kee Kan, 57, dan Siew Mui, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, mereka berniat dengan sengaja melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah ALLAH di rak pameran jualan yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway pada pukul 6.30 pagi, 13 Mac lalu.

BACA LAGI: KK Mart mohon maaf isu stoking, Bell Ngasri pesan jangan buat main kalimah ALLAH

KK Supermart tampil memohon maaf susulan kontroversi penjualan stokin berjenama MiranoSock yang tertera kalimah ALLAH di rangkaian serbaneka syarikat berkenaan.

BACA LAGI: Seminggu sebelum serangan Crocus, aset tentera AS dikesan di Tajikistan

Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris kepada Chai dan isterinya.

Semasa prosiding, peguam, Datuk Rajpal Singh merayu agar dua anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar berjumlah RM12,000.

“Walaupun Siew Mui merupakan pengarah syarikat itu, namun dia merupakan seorang suri rumah malah KK Chai mempunyai 5,000 pekerja di 810 rangkaian kedai serbaneka di Malaysia, Nepal, India dan Brunei,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud membantah perkara itu dan memohon mahkamah menetapkan ikat jamin kepada setiap tertuduh sebanyak RM15,000 kerana mengambil kira sifat kes tersebut.

Selepas mendengar permohonan daripada kesemua pihak, Muhamad Anas membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kes. — The Star/WANI MUTHIAH dan JUNAID IBRAHIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram