SEPERTI yang dilaporkan media tempatan, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh adalah antara individu yang lantang menyuarakan pandangan berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH yang dijual di beberapa rangkaian kedai serbaneka KK Mart.
Beliau juga antara yang terawal menggesa rakyat Malaysia agar memboikot premis berkenaan.
Tegasnya, kempen boikot itu diadakan untuk memberi pengajaran keras kepada semua pihak yang sewenang-wenangnya memperlekehkan isu agama dan bangsa.
Dr Muhamad Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri turut mengarahkan semua Pemuda Umno negeri membuat laporan polis terhadap penjualan stoking terbabit bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 298 (A) Kanun Keseksaan.
Kelantangannya menyebabkan segelintir pihak tidak berpuas hati hingga ada yang bertindak mahu memboikot klinik milik Dr Muhamad Akmal pula.
BACA LAGI: KK Mart mohon maaf isu stoking, Bell Ngasri pesan jangan buat main kalimah ALLAH
Tangkap layar respons netizen di laman X berhubung cadangan memboikot klinik Dr Muhamad Akmal.
Menerusi satu ciapan di laman X (Twitter) pada Ahad, seorang pengguna akaun dengan nama @RajaMohdShahrim memuat naik gambar klinik Dr Muhamad Akmal dengan tertera perkataan boycott.
"Ini bukanlah nak provokasi tapi terpulanglah pada setiap individu," ciapnya.
Bagaimanapun, menjengah ke ruangan komen, nampaknya rata-rata warga maya tidak bersetuju dengan cadangan individu berkenaan.
Menurut Nihaa Iwan, klinik yang beroperasi selama 24 jam sehari itu memberi perkhidmatan yang baik untuk pesakit khususnya penduduk Melaka, jadi tidak perlu dipulaukan.
"Klinik dia bagus saja, kenapa nak boikot pula? Orang-orang Melaka jom sokong klinik beliau," katanya.
Dr Muhamad Akmal Saleh adalah antara individu yang lantang menggesa rakyat Malaysia agar memboikot KK Mart.
"Macam mana nak boikot kalau perkhidmatan yang diberikan secara percuma kepada rakyat miskin.
"Kamu yang kaya-raya baguslah boikot klinik ini, kurangkan kesesakan," kata Billy.
"Bagus Dr Akmal ni, orang tak mampu pun dia suruh pergi saja periksa dekat klinik dia, soal bayar kemudian tidak mengapa. Orang Merlimau memang tahu dia seorang yang walk the talk. Dia cakap dia buat," ujar HaFiz HakiMi.
Sementara itu, cruzboy291 pula berkata, klinik tersebut tidak sepatutnya diboikot kerana ia menyediakan rawatan percuma kepada golongan tidak berkemampuan.
"Penduduk Merlimau dan Jasin gembira dengan klinik ini, dia jadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) buat kerja untuk rakyat yang bagi undi, kenapa nak boikot orang buat kerja?" soalnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram