LELAKI Israel yang diberkas dengan senjata api dan peluru di ibu kota baru-baru ini menjalani hidup di Kuala Lumpur dengan kemewahan, dakwa sumber.
Difahamkan, suspek yang dikenali sebagai Shalom Avitan berusia 36 tahun memasuki negara pada 12 Mac lalu dan menginap di sebuah hotel lima bintang di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu.
"Sepanjang tinggal, suspek membeli-belah di kedai-kedai mewah di ibu kota. Dia dilihat hidup mewah, dengan makan di restoran lima bintang juga," kata sumber.
Lelaki itu juga dipercayai mengadakan pertemuan dengan beberapa individu di hotel.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Pada Sabtu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pasangan suami isteri berusia 40 dan 42 tahun ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada Jumaat kerana membekalkan enam pistol terbabit kepada suspek warga Israel itu.
Siasatan mendapati senjata itu dipercayai diperoleh dari negara jiran sebelum ia dibeli oleh lelaki Israel terbabit dengan menggunakan mata wang kripto.
Pasangan terbabit juga didapati memiliki senjata api sendiri.
Pada 27 Mac, Avitan ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang bersama dengan enam pistol dan 200 peluru.
Pistol yang berjaya dirampas antaranya jenis Sig Sauer, dua Glock dan sebuah Smith & Wesson.
Razarudin berkata, semasa soal siasat, suspek memberitahu polis dia datang ke Malaysia untuk membunuh rakan senegaranya atas pertikaian keluarga.
Polis turut tidak menolak kemungkinan Shalom merupakan ejen perisikan Israel dan susulan daripada itu bertindak meningkatkan keselamatan di tempat yang menjadi lokasi tumpuan bagi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan orang kenamaan lain.
Dalam pada itu, satu sumber turut memaklumkan Shalom kini diletakkan di bawah jagaan perlindungan atau protective custody oleh polis.
Langkah itu diambil bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku kepada suspek.
“Saat dia ditahan pada 27 Mac lalu, suspek tahu bahawa sebarang rancangan atau misi yang dia ada, telah gagal.
"Terdapat risiko sekarang bahawa dia mungkin cuba mencederakan atau membunuh diri semasa dalam tahanan," kata sumber itu, sambil menambah Shalom juga boleh berdepan tindak balas ekoran kegagalan dalam misinya.
Sumber berkata, berikutan senario itu, polis mengenakan kawalan keselamatan yang ketat terhadap suspek.
“Suspek kini diletakkan di bawah tahanan polis Kuala Lumpur namun lokasi tidak dapat didedahkan atas sebab keselamatan.
“Tidak seperti tahanan lain, suspek dianggap berisiko tinggi dan terdapat pegawai dan kakitangan memantaunya sepanjang masa,” kata sumber.
Sementara itu, Razarudin dalam kenyataan terbaharunya memaklumkan polis masih sedang dalam siasatan untuk mengenal pasti motif sebenar kehadiran suspek ke dalam negara.
Malah, beliau turut menyatakan bahawa polis sedar mengenai laporan yang mengatakan kedatangan suspek ke dalam negara adalah bertujuan untuk membunuh seorang ketua keluarga kumpulan penjenayah.
Katanya, siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sedang meneroka semua sudut dan elemen yang boleh dikaitkan dengan kehadiran suspek di negara ini.
“Kita masih menyiasat motif sebenar kenapa dia masuk ke negara ini dan memperoleh enam pucuk pistol bersama 200 butir peluru.
“Kami juga sedang mempertimbangkan faktor lain termasuk konflik Palestin-Israel,” katanya ketika dihubungi The Star pada Ahad.
Razarudin berkata, polis turut memeriksa pergerakan suspek dan individu yang ditemuinya sebelum ditahan.
“Kami juga mendapatkan lebih banyak maklumat dan latar belakang suspek melalui pengumpulan risikan.
“Malah, seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kita tidak boleh menolak kemungkinan suspek itu menimbulkan ancaman kepada pemimpin negara, Hamas malah rakyat kita sendiri,” katanya.
KPN berkata polis perlu diberi ruang untuk menyelesaikan siasatannya sebelum dia boleh berkongsi maklumat lanjut dengan orang ramai pada Isnin.
“Kami sentiasa berwaspada dalam memastikan keselamatan dan keselamatan negara serta rakyatnya terjamin,” katanya. — The Star/JUSTIN ZACK/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram