Hasrat beraya di Sabah tak kesampaian, suami isteri maut kemalangan di Seremban tinggalkan bayi usia 8 bulan


  • 112
  • Isnin, 01 Apr 2024

Motosikal dinaiki pasangan suami isteri itu berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi ketika tiba di sebuah persimpangan Forest Height 1, Seremban, Negeri Sembilan, pada Isnin. — Facebook

HASRAT sepasang suami isteri untuk pulang beraya buat pertama kali di Sabah bersama cahaya mata tidak kesampaian selepas kedua-duanya maut dalam satu kemalangan persimpangan Forest Height 1, Seremban, Negeri Sembilan, pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar pukul 7.10 pagi itu, mangsa Aswan Sulaiman, 29 dan isterinya, Khairunnisya Samsuddin, 23 menaiki motosikal untuk ke tempat kerja di sebuah kilang dekat Senawang.

Bagaimanapun, motosikal dinaiki mereka kemudiannya berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang remaja berusia 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, Perodua Myvi dipandu remaja perempuan berusia 19 tahun datang dari Seremban Jaya menghala ke sebuah kolej tingkatan enam di Forest Height.

"Namun apabila sampai di lokasi, kereta itu membelok ke simpang kanan menuju ke Persiaran Forest Heights 2 dan pada masa sama motosikal ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan telah melanggar sisi kiri kereta terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: 'Kafir bukan istilah tunggal digunakan terhadap bukan Islam dalam al-Quran'

BACA LAGI: Bukan takat mahu 'survive' raya, pesawah terpaksa tanggung hutang berganda akibat cuaca panas

Kejadian itu mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal mengalami cedera parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian sementara pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan, pasangan itu sepatutnya pulang beraya di kampung halaman keluarga suaminya di Sabah bersama bayi mereka yang berusia lapan bulan.

Bapa kepada mangsa, Bapa kepada Allahyarham Nur Khairunnisya, Samsudin Basirun, 52, berkata, keluarga anaknya itu juga sudah membeli tiket kapal terbang untuk perjalanan pulang berkenaan.

Katanya, kepulangan beraya ke Sabah itu juga sepatutnya adalah pertama kali dilakukan selepas pasangan tersebut berkahwin kira-kira setahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram