PADA Sabtu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa kerajaan ketika ini secara berprinsip sudah bersetuju bagi memulakan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah (home detention).
Beliau berkata, langkah tersebut yang membabitkan banduan sudah menjalani hukuman penjara empat tahun dan ke bawah itu dicadangkan bagi mengurangkan kesesakan di penjara.
Katanya, untuk itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses meneliti kaedah pelaksanaan inisiatif itu dari sudut peruntukan undang-undang berkaitan bagi memastikan sama ada akta serta peraturan sedia ada perlu digubal atau tidak.
Dalam pada itu, beliau berkata, cadangan berkenaan juga dijangka hanya melibatkan penghuni penjara yang memiliki penyakit kronik, warga emas, Orang Kurang Upaya dan ibu mengandung.
Dalam pada itu, perkara tersebut dilihat mendapat reaksi yang agak sinis daripada orang ramai.
Ini kerana rata-rata mereka berpandangan langkah berkenaan dilaksanakan untuk memberi keringanan terhadap pesalah tertentu khususnya melibatkan pihak tertentu termasuk ahli politik dan individu berpengaruh.
BACA LAGI: [VIDEO] Najib bebas 2028, hukuman penjara, denda dikurangkan lebih 70 peratus — Lembaga Pengampunan
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ia termasuk dalam kes melibatkan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini berdepan hukuman penjara enam tahun selepas mendapat pengurangan daripada Lembaga Pengampunan bagi kesalahan rasuah yang dilakukannya.
Mengulas mengenai perkara tersebut, peguam Ng Xin Ru berpandangan bahawa dengan mengambil kira syarat awal ditetapkan itu, beliau percaya adalah tidak mudah untuk seseorang banduan mendapatkan pelepasan tahanan rumah seperti yang dicadangkan.
Katanya, ini kerana langkah tersebut hanya melibatkan tahanan dengan kriteria tertentu termasuk bagi mereka yang hukuman penjaranya adalah tidak lebih empat tahun.
Pada masa sama, beliau berkata, sistem hukuman berkenaan juga bukanlah sesuatu yang pelik memandangkan ia sudah dilaksanakan di kebanyakan negara luar.
"Jadi bagi saya dengan melihat kepada syarat yang sudah digariskan, bukan mudah untuk semua banduan nak dapat," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Najib bakal hantar permohonan pengampunan penuh baharu
Menurut Xin Ru, pelaksanaan tahanan rumah kebiasaannya hanya melibatkan pesalah dengan kes tertentu. — Gambar hiasan
Bagaimanapun, untuk menangani kerisauan dibangkitkan orang ramai itu, Xin Ru berpendapat, kerajaan boleh mengambil langkah menggariskan dengan lebih jelas mengenai bentuk kesalahan yang dibenarkan untuk mendapat kemudahan tahanan rumah.
"Kalau kita tidak mahu perkara ini dijadikan isu politik, kerajaan mungkin boleh nyatakan jenis-jenis kesalahan yang terpakai.
Mungkin masyarakat akan lebih berpuas hati kalau contohnya mereka lihat untuk tahanan rumah ini, ia tidak akan terpakai untuk pesalah kes rasuah," ujarnya.
Dalam pada itu, Xin Ru menjelaskan bahawa, secara umumnya, terdapat kesalahan tertentu yang sememangnya tidak dibenarkan untuk mendapat kemudahan tersebut.
Antaranya adalah melibatkan pesalah keganasan atau kes seksual yang serius.
"Selain itu, tahanan rumah ini biasanya tidak melibatkan pesalah yang melakukan kesalahan berulang.
"Ini kerana kalau mereka dilepaskan, kebarangkalian untuk mereka lakukan semula jenayah adalah tinggi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram