Lelaki mati dirodok 3 kali ketika berasmara dengan teman wanita depan tandas awam di Kuala Krai


  • 112
  • Rabu, 03 Apr 2024

Polis menerima maklumat pada pukul 6.30 petang Selasa mengenai penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di hadapan tandas awam. — Orang Awam

SEORANG lelaki maut dipercayai ditikam ketika melakukan hubungan seks bersama seorang wanita dalam kejadian di daerah Kuala Krai, Kelantan.

Mayat lelaki berkenaan dijumpai di hadapan tandas awam Dataran Lemang, Manek Urai pada Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 6.30 petang mengenai penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di hadapan tandas awam.

Katanya, pemeriksaan dilakukan mendapati tiada sebarang kesan darah dijumpai di lokasi mayat mangsa ditemui.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian itu berlaku pada 28 Mac lalu di mana mangsa membawa seorang wanita dari Sungai Tong Setiu, Terengganu ke beberapa kawasan di dalam daerah Kuala Krai.

“Mangsa kemudian ditikam sebanyak tiga tikaman di perut dengan menggunakan sebilah pisau oleh wanita berkenaan ketika melakukan hubungan seks.

“Mangsa dipercayai melarikan diri setelah perempuan berkenaan berjaya melepaskan diri daripada pengawasannya,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: Subsidi bersasar perlu, pastikan hanya kumpulan layak dapat manfaat — PM Anwar

Susulan daripada itu, polis menahan seorang wanita berusia 28 tahun serta merampas sebilah pisau pemotong sayur yang digunakan dalam kes pembunuhan itu.

Muhamad Zaki berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 45 tahun mempunyai beberapa rekod lampau berkait kes jenayah dan narkotik.

“Hasil semakan rekod ke atas mangsa mendapati, mangsa adalah seorang suspek berkait kes kurungan salah terhadap seorang wanita di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan,” katanya.

BACA LAGI: Hasrat beraya di Sabah tak kesampaian, suami isteri maut kemalangan di Seremban tinggalkan bayi usia 8 bulan

Ujarnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk bedah siasat.

Kata beliau, doktor mengesahkan punca kematian adalah disebabkan luka terdapat di bahagian perut kesan daripada tikaman yang menembusi abdomen dan terkena usus najis.

“Pada masa sama, mangsa juga tidak mendapatkan rawatan awal di pusat kesihatan sehingga menyebabkan luka dalam menjadi parah akibat jangkitan kuman,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram