Bukan takat mahu 'survive' raya, pesawah terpaksa tanggung hutang berganda akibat cuaca panas


  • Massa
  • Sabtu, 30 Mac 2024

Cuaca panas melampau yang melanda negara sejak beberapa bulan lalu menjejaskan hasil tanaman padi pesawah di dalam negara. — Gambar hiasan

CUACA panas melampau yang melanda negara sejak beberapa bulan lalu memberikan kesan cukup siginifkan terhadap sektor pertanian di dalam negara.

Antara yang menerima impak negatif ekoran daripada keadaan tersebut tentunya adalah pesawah padi.

Media melaporkan, pesawah di beberapa negeri mengalami kerugian selepas cuaca panas yang berlaku itu menjejaskan hasil tanaman mereka.

Selain mengalami kemerosotan hasil, terdapat sesetengah kawasan juga menyaksikan hasil tanaman yang dimiliki langsung tidak dapati dituai.

Keadaan itu pastinya meletakkan mereka dalam tekanan kewangan yang cukup berat lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan Hari Raya yang jatuh pada pertengahan April depan.

Bagi pesawah di Bukit Besar, Kota Sarang Semut, Alor Setar Kedah, Aswadil Khairi Che Omar, 40, sambutan Aidilfitri pada tahun ini terpaksa disambut dengan cukup sederhana bersama keluarganya.

Menurutnya, ini kerana dia terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pendapatan isterinya dan juga hasil jualan produk makanan dalam taliannya yang dilakukan secara sambilan untuk perbelanjaan hari raya kali ini.

Dia berkata, ia selepas hasil padi diperolehinya pada awal tahun ini tidak mendatangkan sebarang keuntungan, sebaliknya hanya mencukupi bagi menampung modal dikeluarkan untuk menjalankan aktiviti sawah.

"Nasib isteri saya bekerja. Kemudian saya juga duit simpanan hasil daripada meniaga sampingan makanan lokcing bakar secara dalam talian.

"Itu pun secara kecil-kecilan. Nak buka kedai tak boleh sebab kita ni kerja sawah waktu terbatas, kena keluar waktu pagi. Jadi dengan duit itulah saya bersama isteri dan seorang anak menampung perbelanjaan Aidilfitri

"Kalau nak harapkan sepenuhnya hasil padi, duit itu hanya cukup untuk tampung modal sahaja. Itu pun nanti masih terpaksa berhutang untuk nak tampung aktiviti penanaman semula untuk musim seterusnya," katanya ketika dihubungi Majoriti.

BACA LAGI: 'Pengangkutan awam masih kurang memuaskan tapi dah nak fokus kereta EV'

WhatsApp Image 2024-03-29 at 4.31.55 PM

Aswadil Khairi menunjukkan keadaan tanah bendangnya yang kontang.

Aswadil mengakui musim penanaman padi pada tahun ini disifatkan sebagai cukup mencabar untuk petani di kawasan tersebut.

Ini kerana selain cuaca panas, mereka juga berdepan dengan isu serangan serangga perosak yang memberikan kesan terhadap kemerosotan hasil diperoleh pesawah.

"Pesawah lain yang saya jumpa pun memang kata musim ini sememangnya memang mencabar. Jumlah hasil padi sangat teruk menyebabkan ramai kerugian.

"Jadi bukan sahaja terpaksa berhutang (untuk proses penanaman semula), tapi ada juga hutangnya semakin bertambah," ujarnya.

Menurut Aswadil dengan mengambil kira situasi tersebut, suasana raya pada tahun ini disifatkan tidak jauh berbeza dengan beberapa tahun sebelumnya.

Ini kerana menurutnya, situasi kemerosotan hasil padi itu sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu.

"Jadi untuk tahun ini, kalau biasa beli dua pasang, kali ini mungkin sepasang, mungkin kali ini sepasang sahaja.

"Kalau kuih muih itu sekadar ala kadar sahajalah untuk melengkapkan apa yang patut," katanya.

Aswadil berkata, pada tahun ini, dia dan keluarganya juga berkemungkinan hanya beraya di sekitar Kedah dan tidak dapat meneruskan aktiviti tahunan berkunjung ke rumah adik-beradiknya yang jauh termasuk kakaknya yang tinggal di Ipoh, Perak.

80 peratus kawasan sawah di Kedah terjejas

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, pihaknya sememangnya menerima banyak rungutan daripada petani padi yang kebanyakannya mengalami penyusutan hasil ekoran daripada cuaca panas melampau sejak bulan lalu.

Ujarnya, di Kedah, cuaca panas melampau yang itu dianggarkan memberi kesan terhadap kira-kira 80 peratus kawasan tanaman padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang tidak berjaya mencapai hasil yang sepatutnya.

"Sekarang ini banyak petani yang hasil tuaiannya minimum mereka hanya dapat tiga metrik tan sahaja berbanding tujuh metrik tan yang sepatutnya diperolehi untuk setiap satu ekar.

"Dalam keadaan sekarang ini nak musim raya, petani memang terbeban. Malah bukan sahaja nak survive raya, tapi nak buat proses permulaan musim menuai seterusnya pun mereka masih berdepan tekanan kewangan," ujarnya.

BACA LAGI: Ramai tak beli baju raya, netizen kongsi kisah sedih persiapan ala kadar Aidilfitri

2177422 (1)

Exco PeSAWAH, Abdul Rashid Yob.

Abdul Rashid berkata, penyusutan hasil itu sememangnya memberikan kesan langsung terhadap pendapatan pesawah.

"Kalau ikut anggaran kita, daripada 7 metrik tan hasil yang diperolehi, mereka boleh dapat dalam RM600 sebulan. Itu pun maknanya mereka dah di bawah kategori B40 dan miskin tegar.

"Tapi kalau macam sekarang ini dapat cuma tiga tan sahaja, petani pastinya akan sangat rugi dan terpaksa bergantung kepada sumber lain termasuk berhutang untuk meneruskan aktiviti bersawah," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, berharap supaya kerajaan mengambil berat terhadap cabaran yang dihadapi oleh pesawah.

Abdul Rashid turut mempertimbangkan agar kerajaan mempertimbangkan bagi memberikan sumbangan kewangan one-off kepada pesawah khususnya bagi meringankan beban mereka untuk membuat persediaan Aidilfitri.

"Sebab seperti askar, petani juga adalah hero yang tidak didendang. Sebabnya kami juga memastikan tahap keselamatan keterjaminan makanan negara.

"Jadi bagi saya, golongan pesawah ini juga perlukan suntikan motivasi untuk mereka teruskan aktiviti pertanian ini dan seterusnya memastikan keterjaminan makanan negara," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram