MEMASUKI tempoh pertengahan bulan Ramadan, rata-rata umat Islam di Malaysia lazimnya pasti akan mula berkira-kira memikirkan untuk melakukan persiapan hari raya.
Selain berbelanja kelengkapan rumah dan kuih-muih, antara barangan utama lain akan disiapkan tentunya adalah pakaian baju keluarga untuk seisi keluarga.
Bagaimanapun, menerusi tinjauan di TikTok, terdapat warganet mendakwa ramai pada tahun ini mengambil keputusan untuk tidak membeli baju raya.
"Rupanya, ramai yang tak beli baju raya tahun ini," tulis ieywanfuhh.
Setakat laporan ini ditulis, hantaran berkenaan mendapat lebih 38,000 komen daripada warga maya.
Rata-rata netizen menyatakan bahawa tekanan kewangan dan harga baju raya yang agak mahal menjadi antara sebab mereka membuat keputusan tersebut.
"Saya tak beli sehelai pun lagi sebab lebih pentingkan sekolah anak-anak. Duit yuran sekolah pun masih kumpul sikit-sikit untuk dua beradik," ujar Arrianna Qaisara.
"Saya dan anak-anak tak dapat beli baju raya. Tak mampu anak enam orang, semua perempuan. Reda jelah dugaan ALLAH pada kita. Janji anak-anak cukup makan," kata R©§€ FI¥∆H.
BACA LAGI: Ambil ilham suasana KL 1935, jurutera ini mula inisiatif berbasikal ke tarawih
Umat Islam di Malaysia kebiasaannya akan membuat persiapan raya ketika memasuki pertengahan bulan Ramadan. — Gambar hiasan.
"Belum beli. Bila mengenang nasib boleh menitis air mata. Tiada baju raya tak mengapa. Doakan saya boleh balik kampung jumpa ibu dan anak-anak di kampung. Doakan rezeki kewangan dan pekerjaan saya," ujar @midah537@.
"Saya tak beli pun sebab orang rumah nak bersalin raya kelima. Jadi banyak persiapan barang bayi lagi. Semoga ada rezeki buat keluarga kecilku, amin," tulis Pelat.
"Sekarang musim barang mahal. Tak ada baju raya atau persiapan raya pun tak apa. Asal dapat berkumpul sekeluarga dan bermaaf-maafan cukup. Silaturahim keluarga lagi penting," kata Kak Ton.
"Lebih kepada anak-anak. Saya dan suami simple. Beli murah-murah sahaja. Pagi raya wajib tangkap gambar. Buat kenangan," tulis mama ekin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram