Idea Beras Madani buat kartel tak senang duduk, dalang penipuan campur-campur beras tempatan dan import


  • Massa
  • Jumaat, 23 Feb 2024

Abdul Rashid berkata, langkah mengawal harga siling melalui satu jenis beras tunggal semata-mata tidak mampu menghapuskan kegiatan kartel di dalam industri tersebut. — Gambar hiasan

CADANGAN Kerajaan untuk memperkenalkan satu beras putih tunggal di dalam negara diakui sememangnya berpotensi untuk menangani isu kartel yang didakwa wujud dalam industri tersebut.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, ketika ini, kumpulan tersebut disyaki wujud antara lain kerana terdapatnya perbezaan kawalan terhadap harga beras putih import dan tempatan.

Ujarnya, situasi itu menyebabkan terdapat pengilang didakwa mengambil kesempatan termasuk dengan mencampurkan kedua-dua beras tersebut di dalam jualan mereka bagi mendapatkan keuntungan.

Untuk nak hapuskan terus, bagi saya tidaklah. Cuma bila dikuatkuasakan, ia mungkin boleh buatkan kartel tak senang hati sebab hanya wujud satu harga.

"Kemudian kilang sendiri pun tak perlu nak tipu sebab penetapan harga ini dah dibuat secara telus.

"Kalau sebelum ini bila ada dua harga, kartel boleh bermaharajalela untuk campurkan beras tempatan dan beras import demi untuk meraih keuntungan," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Penentuan harga kawalan minggu depan, PM Anwar yakin harga beras boleh dikurangkan

2177422

Exco PeSAWAH, Abdul Rashid Yob.

Menurut Abdul Rashid, amalan penipuan mencampurkan beras tempatan bersama beras import yang memiliki kualiti rendah itu sememangnya disyaki sudah berlaku sejak sekian lama di dalam negara.

Ujarnya, kekurangan kapasiti daripada segi kepakaran dan tenaga kerja juga menyukarkan Kerajaan menjalankan penguatkuasaan terhadap kegiatan tersebut.

Dengan situasi itu, beliau berkata, kumpulan kartel yang didakwa turut melibatkan pengilang dilihat boleh menjalankan penipuan mencampurkan beras tanpa sebarang pengawasan rapi.

"Sebab pengilang dia berpandukan harga beras. Kalau Kerajaan masih lagi letak harga siling RM2.60, jadi kilang akan tak mampu menjual pada harga 2.60 sedangkan modal dia keluar 3.00, contohnya.

"Jadi, siapa nak meniaga sebab dia pasti akan rugi. Sebab itu ada yang ambil tindakan tukarkan kampit (dengan beras campuran) dan menjualnya pada harga beras import dengan harga lebih tinggi," ujarnya.

Sehubungan itu, Abdul Rashid berkata, langkah memperkenalkan beras putih tunggal itu dilihat secara langsung menyukarkan pengilang untuk melakukan kegiatan sedemikian.

"Bila dikuatkuasakan, mungkin boleh buatkan kartel tak senang hati sebab bila satu harga peluang untuk nak boleh keuntungan lebih sebab dah disatukan satu harga.

"Jadi kilang sendiri pun tak perlu nak tipu dah sebab benda ini dibuat secara terbuka secara telus," kata beliau.

Bagaimanapun, Abdul Rashid berkata, langkah mengawal harga siling melalui satu jenis beras tunggal semata-mata tidak mampu menghapuskan kegiatan kartel di dalam industri tersebut.

Menurutnya, ini kerana manipulasi itu juga boleh meliputi dua lagi komponen utama dalam rantaian bekalan beras melibatkan padi belian yang diborong daripada pesawah dan juga padi mentah yang diperoleh daripada pembekal benih.

Beliau turut mengakui isu monopoli khususnya dalam pembekalan benih turut menyumbang kepada kewujudan kartel yang menyebabkan petani berdepan dengan masalah kualiti padi dan seterusnya menjejaskan pendapatan mereka.

"Dia sepatutnya kita kena hapuskan monopoli. Contohnya macam padi benih itu kita kena buka bagi banyak pengedar supaya ada persaingan kualiti dan sebagainya," ujarnya.

BACA LAGI: Campur tangan di peringkat pengguna untuk atasi isu bekalan barang — Anwar

1916808 (1)

Abdul Rashid mengakui isu monopoli khususnya dalam pembekalan benih turut menyumbang kepada kewujudan kartel yang menyebabkan petani berdepan dengan masalah kualiti padi dan seterusnya menjejaskan pendapatan mereka. — Gambar hiasan

Mengulas mengenai kesan baik peningkatan harga padi yang dicadangkan bagi beras tunggal terbabit, Abdul Rashid mengakui pesawah sememangnya bakal merasai impak positif ekoran daripada dasar tersebut.

Namun, beliau menegaskan, perkara itu hanya bersifat jangka pendek sekiranya kerajaan tidak melakukan penetapan harga yang kompetitif dalam tahun-tahun seterusnya.

"Kalau harga padi dinaikkan kepada harga RM35 itu, jaminan daripada pengilang yang nak membeli padi mentah kepada petani terjamin harganya.

"Tapi untuk tahun-tahun seterusnya, kalau kerajaan masih kekalkan harga lama, sedangkan negara lain dah naik seiring dengan peredaran kos semasa, petani akan kembali tertekan semula," katanya.

Ujarnya, berbanding negara lain, kerajaan sebelum ini menghadapi kekangan untuk menaikkan harga beras selaras dengan peningkatan kos operasi semasa.

Ini terbukti apabila harga kawalan RM2.60 yang dilaksanakan sejak 2008 masih tidak disemak sehingga kini.

Di negara pengeluar lain seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia pada ketika ini, harga jualan beras sudah mencecah sehingga RM4.10. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram