KPKM, Naccol beri tempoh hingga 20 Mac muktamad harga padi, beras — PM Anwar


  • Primer
  • Ahad, 25 Feb 2024

Anwar berkata, penetapan harga barangan asas itu memerlukan sedikit masa untuk dimuktamadkan bagi mengimbangi keperluan pengguna dan pesawah supaya kedua-dua kumpulan tidak terbeban.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh sehingga 20 Mac depan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) untuk memuktamadkan isu harga padi dan beras.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penetapan harga barangan asas itu memerlukan sedikit masa untuk dimuktamadkan bagi mengimbangi keperluan pengguna dan pesawah supaya kedua-dua kumpulan tidak terbeban.

"Apabila main soal dasar, nak tetapkan dasar, harga padi umpamanya, itu kita harus sabar sekejap serta mengikut proses sebelum kita muktamadkan," katanya.

BACA LAGI : Campur tangan di peringkat pengguna untuk atasi isu bekalan barang — Anwar

2557363

Rakyat umumnya mahu harga beras turun atau terkawal, pesawah mahu hasil mereka itu dinilai. — Gambar hiasan

BACA LAGI : Beras Madani: Yang penting bukan brand, tapi harga — Ameer Mydin

Perdana Menteri berkata, beliau sudah bercakap sendiri dengan pihak Bernas (Padiberas Nasional) dalam mesyuarat Naccol baru-baru ini.

Perbincangan itu antaranya menyentuh aspek supaya Bernas mencari jalan untuk mengurangkan kebergantungan import beras dari luar, manakala pengeluaran tempatan dinaikkan.

"Dia ada masalah, naik (harga dan ini akan beri) beban kepada pengguna, tak naik (harga dan ini akan beri) beban kepada pesawah, jadi bagaimana nak imbangi kedua-duanya kerana pesawah adalah antara kelompok yang miskin di negara kita.

"Rakyat umumnya mahu harga beras turun atau terkawal, pesawah mahu hasil mereka itu dinilai," katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Ahad. — TheStar

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram