'Lebih baik harga padi tinggi, pesawah bukan minta sampai boleh pergi haji balik hari'


  • Massa
  • Isnin, 19 Feb 2024

Peningkatan harga beras disifatkan bakal memberikan kesan positif kumpulan pesawah di seluruh negara yang ketika ini berdepan tekanan kos operasi. — Gambar hiasan

SEJAK minggu lalu, isu mengenai pengenalan Beras Madani menjadi topik hangat yang menjadi bualan dalam kalangan rakyat.

Ia selepas Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan Kerajaan bakal memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan beras putih tempatan dan import di pasaran ketika ini.

Kenyataan tersebut ternyata mendapat perhatian yang cukup besar bukan sahaja daripada kalangan masyarakat, malahan juga ahli politik.

Ini kerana pengumuman itu menyaksikan berlakunya peningkatan terhadap harga siling beras putih daripada RM26 ke RM30 hingga RM33 bagi 10 kilogram.

Dalam kenyataannya, Syed Abu Hussin berkata, kenaikan itu dicadangkan kerana penetapan harga siling beras tidak pernah berubah sejak 18 tahun lalu.

Di sebalik pengumuman tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menyatakan bahawa perkara itu masih lagi belum dimuktamadkan.

Ini kerana menurut beliau, isu mengenai kawalan harga beras tersebut akan diputuskan pada mesyuarat Naccol yang akan diadakan pada minggu ini.

Meskipun rata-rata pengguna dilihat tidak bersetuju dengan cadangan kenaikan tersebut, terdapat juga segelintir pihak yang memiliki pandangan sebaliknya.

BACA LAGI: Lebih separuh pesawah Kedah rugi, hasil tanaman tak laku

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim speaks during a press conference after special meeting on ' Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022' at the prime office in Putrajaya . (27/11/2022). —AZHAR MAHFOF/The Star

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut mereka, perkembangan tersebut disifatkan akan memberikan kesan positif kumpulan pesawah di seluruh negara yang ketika ini berdepan tekanan kos operasi.

Malah, terdapat juga laporan menyatakan ramai petani kini membuat pilihan untuk berhenti daripada menjadi pesawah kerana mengalami kerugian.

Sehubungan itu, seorang pengguna Facebook, Ezreen Muhaizie Marzukhi berkata, dalam menangani isu tersebut, adalah lebih baik agar kerajaan meningkatkan harga asas padi meskipun langkah itu bakal membawa kepada jualan harga beras lebih mahal.

Jelasnya, ini kerana fenomena yang menyaksikan ramai pesawah berhenti daripada menjadi petani tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia bakal memberikan kesan langsung terhadap tahap bekalan beras negara pada masa akan datang.

"Jumlah pesawah di jelapang padi utama negara adalah 116,000 orang meliputi Kedah, Perlis, Selangor, Perak dan Kelantan. Jumlah keluasan bersawah di jelapang padi ini dianggarkan 204 ribu hektar.

"Purata pemilikan tanah sawah setiap petani adalah 1.8 hektar seorang. Kita tak perlu ambil banyak. Katakanlah ada 5 peratus petani give up tak nak usahakan sawah kerana harga padi rendah dan jual tanah mereka untuk keperluan tunai.

"Situasi itu bakal menyebabkan kita kehilangan 10,440 hektar tanah (hampir 11,000 hektar)," tulisnya di Facebook.

BACA LAGI: [VIDEO] Pengenalan Beras Putih Malaysia Madani: Tindakan tak popular tapi praktikal

Worker arranging imported rice on the rack at one of the supermarket. Story on increase in imported rice. — FAIHAN GHANI/The Star

Pengumuman oleh Syed Abu Hussin itu menyaksikan harga siling beras putih dinaikkan daripada RM26 ke RM30 hingga RM33 bagi 10 kilogram. — Gambar hiasan

Bagi memberikan gambaran mengenai kesan situasi tersebut, dia berkata, kehilangan 11,000 hektar tanah sawah yang tidak ditebus guna itu menyamai bekalan beras selama dua tahun untuk penduduk di negeri Perlis.

"Itu baru kalau lima peratus petani hilang minat nak bersawah kerana harga padi tak naik-naik demi nak jaga pengguna," ujarnya yang juga merupakan usahawan pertanian.

Menurut Ezreen, sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam rantaian bekalan hasil pertanian, dia melihat keperluan untuk memastikan kebajikan petani.

"Petani pun bukannya nak minta harga padi sampai boleh pergi haji balik hari. Cukup sekadar boleh menampung kos bersawah yang tinggi untuk meneruskan hidup hari-hari," ujarnya.

Untuk rekod, sekitar November tahun lalu, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Datuk Azman Mahmood sudah mengeluarkan cadangan agar kerajaan harga siling beras putih tempatan (BPT) kepada RM3.20 sekilogram (kg) berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini.

Ekoran daripada itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan kerajaan akan mengkaji syor tersebut bagi meneliti keperluan dan cara pelaksanaannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram