[VIDEO] 'Microsleep' disyaki punca pemandu Ativa hilang nyawa di R&R Senawang


  • Tular
  • Isnin, 04 Sep 2023

Keadaan kemalangan membabitkan kenderaan Perodua Ativa dengan sebuah lori dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Senawang, Negeri Sembilan pada Sabtu. — Facebook/Info Berita Semasa

SEORANG wanita maut dipercayai selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan kenderaan Perodua Ativa yang dipandunya dengan sebuah lori dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Senawang, Negeri Sembilan.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 7.30 pagi pada Sabtu itu dirakam menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam), sebelum ia tular di laman sosial pada Ahad.

Berdasarkan perkongsian beberapa gambar kejadian, bahagian hadapan dan tepi pemandu kereta dipercayai mengalami kerosakan yang amat teruk.

Menerusi video berdurasi 17 saat yang dikongsikan di laman Facebook Info Berita Semasa, kelihatan dua buah lori yang diparkir betul-betul di laluan masuk ke R&R Senawang.

Situasi itu dilihat boleh mendatangkan bahaya buat pengguna jalan raya yang lain kerana ia akan menyukarkan pergerakan kenderaan lain untuk masuk ke kawasan tersebut.

"Di situ pun nyata nampak, parkir di tempat yang membahayakan penguna jalan raya yang lain. Jika kecemasan tak nampak pun ada tanda amaran, walau dalam keadaan macam mana pun peraturan jalan raya harus dipatuhi serta diberi keutamaan," tulis Sharim Mat Alwan.

Bagaimanapun, menjengah ke ruangan komen, ramai dalam kalangan warga maya yang menyalahkan pemandu Ativa berkenaan yang disyaki cuai dan leka kerana agak mustahil untuk pemandu tersebut tidak melihat kenderaan sebesar lori itu diletakkan di tepi jalan.

"Tiga batu nautika dah nampak lori tu. Kalau lepas minyak tak perlu tekan rasanya boleh saja berhenti kereta itu.

"Kalau tekan brek? Lagilah berhenti kereta tu. Tapi itulah, tak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Boleh jadi kaki tiba-tiba kejang tak boleh angkat dari paddle race ke? Atau microsleep ke?" soal Hafiz34.

"Ikut pengamatan, dia (pemandu Ativa) boleh cilok belah kiri, ruang kiri lori masih luas. Kes megantuk atau main telefon pintar," kata Tok Din.

Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan pihak berkuasa mengenai insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram