SEORANG pengusaha kedai dobi layan diri di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani, Kedah mengalami kerugian sebanyak RM580 selepas premisnya dipecah masuk pada Selasa.
Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan, sebelum dikongsikan di laman Facebook Penduduk Sungai Petani pada Rabu.
Menurut pemilik kedai dobi tersebut, selain mengambil peti wang, suspek juga bertindak memecahkan pembahagi ruangan di dalam premis berkenaan hingga rosak.
Menurutnya, kos membaik pulih pula psatinya akan memakan belanja yang agak tinggi.
"Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki muda, masih sihat, tidak cacat, membawa alat pertukangan, berkasut biru dengan beg silang di dada melakukan aktiviti pecah masuk di dobi kami," katanya.
Lebih mendatangkan kemarahan, suspek didakwa masih berani berkeliaran di sekitar kawasan kedai pada petang hari kejadian.
"Kira-kira pukul 4 petang ketika kami berada di dobi untuk selesaikan isu pembahagi ruangan yang hancur, tiba-tiba ada sebuah motor berselisih dengan adik saya.
"Apabila sekilas adik lihat, ternyata itu memang lelaki yang ada dalam CCTV.
"Betapa beraninya dia masih berkeliaran di sekitar situ! Adik segera ambil gambar dan apabila dia (suspek) perasan foto diambil dia cepat-cepat memalingkan muka dan pecut dari situ.
"Apabila disemak nombor plat motosikal, ternyata ia nombor palsu," katanya.
Pemilik turut mendedahkan, berdasarkan info awal yang diterima daripada orang awam, suspek dipercayai anak kepada seorang bekas pegawai polis.
"Sekiranya kes ini berstatus NFA (Tiada Tindakan Lanjut) kerana suspek ada kaitan dengan pegawai (polis), kami terpaksa bawa kes ini ke Bukit Aman. Doakan semoga pelaku tertangkap segera," kongsinya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan kejadian berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya sedang mengesan suspek berdasarkan rakaman CCTV untuk membantu siasatan bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram