JIKA diperhatikan, majoriti peniaga mula meluahkan keluhan hati mereka susulan hasil jualan menunjukkan penurunan agak ketara berbanding tahun sebelum ini.
Tidak dinafikan, peningkatan kos sara hidup membuatkan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berkira-kira dalam melakukan persiapan menyambut Aidilfitri yang berbaki kurang dua minggu sahaja lagi.
Ramai rakyat yang terkesan dengan tekanan kos sara hidup dan ekonomi semasa.
Bagaimanapun, menjengah ke laman media sosial, terdapat segelintir warga maya berpendapat, kuasa membeli masih ada, namun kebanyakannya lebih cenderung membuat pembelian menerusi aplikasi dalam talian berbanding perlu bersesak-sesak di luar.
Nampaknya, peniaga perlu menerima hakikat bahawa sikap pengguna sudah mula berubah ke arah pembelian digital.
Dengan keadaan cuaca panas membahang sepanjang Ramadan, pastinya untuk keluar rumah dan bersesak-sesak di luar bukanlah satu pilihan yang bijak.
Selain itu, pengguna juga bebas dan mempunyai lebih banyak masa untuk memilih sekiranya perbelanjaan dibuat dalam talian.
"Kedai fizikal mungkinlah hambar, pasaran online kuat juga," tulis @amrsyfq10.
"Saya pernah kerja separuh masa JNT Puchong Prima minggu lepas, Semakin dekat tempoh nak raya, semakin banyak bungkusan, kebanyakkanya orang beli baju raya di TikTok," kata @HEROSUPERB188.
"Zaman ini hampir semuanya (menggunakan) digital. (Peniaga) perlu mengadaptasi (suasana ini). Kerajaan pun banyak saja bagi bantuan kepada penjual untuk mendigitalisasikan perniagaan mereka," kata Khalini Jadi.
"Kalau nak tahu gambar atau tidak, cuba pergi tengok tempoh 6 hingga 9 April ini. Masa itu baru kau tahu hambar atau tidak.
"Mana ada orang membeli-belah sekarang ini. Ini Malaysia, membeli-belah semua last minute," tulis @shamxykamal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram