Bimbang sewa naik 3 kali ganda, ramai tempah kereta pulang beraya di kampung seawal Disember 2023 


  • Massa
  • Jumaat, 29 Mac 2024

Trend menyewa kereta menjelang musim perayaan semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia. — Gambar hiasan

TREND menyewa kereta menjelang musim perayaan semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Membangkitkan kemegahan dan kegembiraan, seolah-olah membawa pulang kereta baharu ke kampung halaman mungkin menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan trend tersebut.

Untuk kali ini, orang ramai mula membuat tempahan kereta sewa untuk digunakan semasa cuti perayaan Aidilfitri seawal Disember tahun lalu.

Pengarah Fantastic 4 Global Trading, Noor Haniza Hassan berkata, jenis kenderaan yang paling mendapat sambutan ialah kereta dengan tujuh tempat duduk seperti Toyota Vellfire, Toyota Alphard dan Perodua Alza model baharu dan lama.

"Tempahan kebanyakannya datang secara terus daripada pelanggan kepada ejen.

"Permintaan tahun ini sama seperti tahun lalu, cuma jumlah hari tempahan sahaja yang berbeza dan mengikut bajet pelanggan juga," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Stailo di pagi raya, 4 aplikasi sewa kereta permudah balik kampung Aidilfitri

kereta sewa1

Harga alat ganti kenderaan menunjukkan peningkatan ketika ini. — Agensi

BACA LAGI: Kenderaan persendirian disewa berdepan risiko disita JPJ

Beliau berkata, syarikatnya lebih memfokuskan pada tempahan sewa bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah seperti Vellfire dan Alphard untuk kegunaan seisi keluarga.

Bagaimanapun ujar Noor Haniza lagi, beliau akan mengatur susun kereta sewa mengikut kemampuan kewangan pelanggan.

"Kita akan tanya bajet pelanggan dan cadangkan model mengikut bajet mereka.

"Misalnya harga untuk Vellfire/Alphard AGH30 model baharu boleh mencecah RM850 hingga RM900 sehari.

"Biasanya pelanggan akan menyediakan bajet sekitar RM5,000 untuk model Vellfire atau Alphard, manakala Alza bawah RM3,000 untuk tempoh tujuh hingga 10 hari," jelasnya sambil memaklumkan syarikat beliau turut menyediakan perkhidmatan pemandu kereta profesional atau dipanggil chauffeur.

WhatsApp Image 2024-03-28 at 23.05.51

Dari kiri: Noor Haniza, Mohd Fauzi

Sementara itu, Pengurus Qaiser Auto Mall, Mohd Fauzi Che Roas memberitahu, tidak sampai dua bulan kereta sewa yang disediakan di premisnya habis ditempah.

Menurut beliau, situasi itu berlaku gara-gara orang ramai bimbang kereta sewa akan cepat habis.

Selain itu, mereka juga khuatir harga akan melonjak dua hingga tiga kali ganda sekiranya ditempah pada saat-saat akhir.

"Situasi sama berlaku dengan pengusaha kereta sewa yang lain. Untuk saya sendiri, kereta mulai ditempah sejak awal Februari dan 'sold out' pada pertengahan Mac.

"Kalau tempah awal, mereka boleh bayar dengan kadar normal, bukan harga perayaan yang kebiasaannya akan lebih tinggi berbanding hari biasa," ujarnya.

Mohd Fauzi berkata, tidak dapat dinafikan, harga sewa terpaksa dinaikkan sekitar 15 hingga 20 peratus disebabkan peningkatan harga alat ganti kenderaan.

"Apabila hantar kereta servis di bengkel, harga alat ganti sekarang memang akan naik. Jadi bayaran sewa adalah seiring dengan pasaran semasa," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram