[VIDEO] Hanya salah faham, warga asing bukan nak culik bayi, tapi cuba bantu naik tangga 


  • 112
  • Jumaat, 29 Mac 2024

Berlaku salah faham melibatkan dua warga asing yang didakwa cuba membawa lari seorang bayi perempuan berusia 19 bulan di sebuah pasar raya berdekatan Klang Sentral, Isnin lalu.

BUKAN menculik, sebaliknya hanya berlaku salah faham melibatkan dua warga asing yang didakwa cuba membawa lari seorang bayi perempuan berusia 19 bulan di sebuah pasar raya berdekatan Klang Sentral, Klang, Selangor pada Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis tersebut namun tiada unsur penculikan dalam kes berkenaan.

Menurutnya, siasatan mendapati ketika kejadian, tangga bergerak yang digunakan mangsa bersama ibu dan ibu saudaranya rosak, menyebabkan mangsa sukar menaiki tangga itu.

"Kebetulan dua lelaki warga asing tersebut turut berada berdekatan dan mereka mengangkat mangsa dengan tujuan membantu.

"Bagaimanapun perbuatan itu disalah erti ibu mangsa yang menyangka bahawa anaknya itu cuba dilarikan," katanya.

BACA LAGI: Mahal tapi tak sedap, ramai peniaga bazar Ramadan dijangka ‘gulung tikar’ macam tahun-tahun sudah

BACA LAGI: [VIDEO] 'Microsleep' disyaki punca pemandu Ativa hilang nyawa di R&R Senawang

Hussein turut menjelaskan, siasatan lanjut mendapati dua lelaki warga asing itu bekerja secara sah di kilang berdekatan dan sering ke pasar raya berkenaan untuk membeli barangan keperluan.

Ujarnya, suspek juga tidak melarikan diri ketika ditahan orang awam.

"Semakan juga mendapati tiada sebarang persediaan untuk menculik dikesan di sekitar pasar raya itu seperti kenderaan untuk melarikan mangsa.

"Bagaimanapun, kertas siasatan akan dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.

"Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak sewenangnya memegang anak orang lain terutamanya yang tidak dikenali kerana ia akan menimbulkan salah faham dan panik," katanya.

Majoriti sebelum ini melaporkan dua lelaki warga asing dicekup polis selepas didakwa melakukan cubaan jenayah penculikan di sebuah pasar raya di Klang.

Menerusi video tular di media sosial sejak Selasa, kedua-dua suspek ditahan di dalam pasar raya tersebut sambil diawasi anggota polis.

Kelihatan mereka berdua duduk di atas lantai berhampiran kios kecil dengan kedua-dua belah tangan digari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram