DUA lelaki warga asing dicekup polis selepas didakwa melakukan cubaan jenayah penculikan di sebuah pasar raya di Klang, Selangor pada Isnin.
Menerusi video tular di media sosial sejak Selasa, kedua-dua suspek ditahan di dalam pasar raya tersebut sambil diawasi anggota polis.
Kelihatan mereka berdua duduk di atas lantai berhampiran kios kecil dengan kedua-dua belah tangan digari.
BACA LAGI: Rumah mewah penyanyi rap AS kena serbu, disyaki terlibat kes pemerdagangan seks
Info yang di terima, Cubaan warga asing menculik budak dekat NSK Klang Sentral.
Ada sapa boleh sahkan?
Kalau dia culik budak dia buat apa? Jual organ ke? Jadikan sindikit mengemis? pic.twitter.com/ZwRS69SK0R
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) March 26, 2024
BACA LAGI: 'Hari-hari menangis minta maaf', 'trader' share tips 'sekolahkan' semula scammer
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, seorang wanita berdepan detik cemas apabila anaknya yang berusia 19 bulan, hampir menjadi mangsa culik kedua-dua suspek.
Vijaya berkata, wanita berkenaan memaklumkan, dia sedang menaiki tangga bergerak di pasar raya itu bersama anaknya serta adik perempuan.
"Wanita berkenaan yang sedang memimpin tangan bayinya tiba-tiba didatangi dua lelaki warga negara asing dari arah belakang yang mana salah seorang lelaki itu bertindak mengangkat anaknya.
"Wanita berkenaan terus menjerit dan menarik semula anaknya manakala dua lelaki berkenaan cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditangkap orang awam yang berada di pasar raya itu.
"Dua lelaki berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak polis dan kini direman tiga hari bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran.
"Polis juga menyeru orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kawasan sekeliling bagi mengelak kejadian seperti ini berulang," katanya.
Sementara itu, rata-rata warganet meluahkan rasa berang terhadap situasi yang berlaku dan menganggap kebanjiran warga asing menjadi punca jenayah berleluasa.
"Simpan lagi ramai-ramai, tak cukup lagi. Bawa masuk lagi, simpan lagi. Makan percuma, rumah percuma, apa mahu. Semua kerja boleh," komen pengguna Facebook, Zaiton Ahmad.
"Warga asing di negara kita dah terlampau ramai. Kadang-kadang kita nak jalan dengan keluarga hari minggu pun rasa dah tak selamat," luah @slgkrn di Twitter (X). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram