Kenderaan persendirian disewa berdepan risiko disita JPJ


  • Primer
  • Sabtu, 21 Jan 2023

Pemilik kereta sering kali menyewakan kereta mereka kepada pelajar universiti. — Gambar hiasan

KERETA persendirian yang disewakan untuk kegunaan orang lain boleh disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, hal ini kerana, tindakan menyewa kereta persendirian untuk kegunaan komersial adalah menyalahi undang-undang, berisiko dan melanggar terma polisi insurans.

“Firma kereta sewa perlu memohon lesen melalui Apad.

"Jika untuk tujuan pelancongan, mereka perlu memohon lesen daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan," katanya.

Beliau mengulas laporan eksklusif The Star mengenai modus operandi baharu pencuri kereta yang menyewa kereta persendirian, terutama kenderaan mewah yang dipajak kepada firma penyewaan kereta.

Mereka kemudiannya menghapuskan alat pengesan lokasi GPS kenderaan dan melarikan kereta, sering menjualnya merentasi sempadan di Thailand atau menanggalkan bahagian kenderaan.

Polis tidak mempunyai kuasa untuk terhadap pencuri kerana ia dianggap melanggar kontrak sewa dan bukannya mencuri. Mangsa diberitahu untuk memulakan saman sivil terhadap pencuri.

"Sekiranya kereta itu tidak didaftarkan di bawah Apad, maka ia adalah perniagaan yang menyalahi undang-undang dan JPJ boleh menyita mana-mana kenderaan yang disewakan," kata Azlan Shah sambil menambah bahawa kenderaan itu juga dianggap sebagai sewa haram, teksi haram atau kereta sapu (perkhidmatan sewa haram).

Beliau berkata, perkhidmatan kereta sewa berlesen perlu membeli kenderaan komersial sendiri dan tidak bertindak sebagai orang tengah dengan memajak kereta persendirian untuk disewakan.

“Kami mempunyai platform yang membolehkan orang ramai menyewa kereta mereka, tetapi mereka perlu mengikut peraturan Apad.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang tidak dipersetujui oleh penyewa seperti perbezaan kos insurans dan pemeriksaan Puspakom," kata Azlan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menyewakan kenderaan persendirian mereka kepada syarikat penyewaan tidak berlesen, sambil menambah bilangan syarikat tidak berlesen lebih tinggi berbanding syarikat berlesen.

Katanya, pemilik kereta seringkali menyewakan kereta mereka kepada orang lain termasuk pelajar universiti.

Ini adalah amalan berisiko kerana tiada perlindungan insurans sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.

Azlan berkata, Apad juga sedang meneliti peraturan perkongsian kereta peer-to-peer dan kini dalam fasa pembuktian konsep (POC).

Terdapat empat platform penyewaan kereta yang terlibat dalam fasa ini iaitu Trevo, Klezcar, Wahdah dan Xcess.

Penyewaan kereta peer-to-peer ialah model perniagaan, yang mana pemilik memajak kenderaan mereka untuk disewa supaya mereka boleh memperoleh pendapatan.

“Syarikat (mengendalikan platform) harus mengikut garis panduan, termasuk membeli insurans meliputi pemandu, penumpang dan pihak ketiga.

“Kerajaan tidak akan mengawal harga premium insurans atau jumlah perlindungan.

“Ini hanya POC. Liabiliti terletak pada syarikat semata-mata," kata Azlan.

POC pertama kali diterima pada 1 Ogos 2020, dan telah dilanjutkan buat kali ketiga sehingga 31 Julai tahun ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram