Selain Muhyiddin, ini 3 lagi alasan menggelikan hati demi pelepasan pasport


  • Massa
  • Jumaat, 09 Feb 2024

Muhyiddin sedang berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis membuat keputusan membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasportnya bagi menghadiri perasmian restoran halal di Bangkok, Thailand.

Pelepasan sementara itu diberikan bermula pada Khamis sehingga 23 Februari depan.

Hakim Azura Alwi berkata, walaupun bersetuju bahawa tujuan bekas Perdana Menteri itu ke Thailand bukan keperluan mendesak, mahkamah mempunyai budi bicara yang luas termasuk menggunakan budi bicara selepas mengambil kira dan menimbangkan segala keadaan terhadap kes berkenaan.

Bagi kes Muhyiddin, beliau berkata, mahkamah mendapati walaupun dikenakan sekatan, jaminan dan syarat jaminan, adalah tidak wajar pemohon dihalang menjalani kehidupan dan menggalas tanggungjawab seperti biasa selagi tidak disabitkan bersalah bagi pertuduhan dikenakan.

Dalam pada itu, keputusan itu turut menarik perhatian warganet yang menyifatkan alasan diberikan agak menggelikan hati.

Malah ada yang menjadikan berita itu sebagai bahan lawak.

"Ingat apa benda yang penting nak dirasmikan rupanya ini sahaja," tulis Shahar Guardiola Hadiri.

"Bagi sahaja la terus pasport dia tu balik. Macam apa-apa je alasan yang diberikan nak ke Thailand," ujar ibnu_sukri95.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama alasan sedemikian digunakan figura umum bagi mendapatkan pelepasan sementara pasport ketika berdepan perbicaraan.

1. Dapat kebenaran bagi lawat anak di Singapura

Mahkamah Rayuan pada 15 Jun lalu membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor bagi mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkannya melawat anaknya, Nooryana Najwa Mohd Najib dan keluarga di Singapura.

Kebenaran itu dibuat selepas tiada bantahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn terhadap permohonan itu yang dibuavoleh isteri bekas Perdana Menteri itu.

Peguam Datuk Jagjit Singh sebelum itu berkata, anak guamnya memohon kebenaran mahkamah mendapatkan pasport antarabangsanya bagi membolehkannya melawat anak perempuannya itu yang kini menetap di Singapura selepas berkahwin dengan warga Kazakhstan, Daniyar Kessikbaye.

Najib wife's Datin Seri Rosmah Mansor arriving at Court Palace of Justice in Putrajaya. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Datin Seri Rosmah Mansor.

BACA LAGI: Khairuddin Othman bakal dilantik KP J-KOM ganti Agus?

Itu merupaan kali ketiga Rosmah diberi kebenaran sementara mendapatkan pasport antarabangsanya untuk ke Singapura.

Kali pertama beliau mendapat pelepasan sementara itu pada 15 Oktober 2021 untuk melawat Nooryana yang melahirkan anak keduanya serta pada 21 Mac, untuk melawat anak dan cucunya yang tidak sihat.

Rosmah ketika itu sedang menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

2. Terima pelepasan untuk lihat cucu lahir

Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan semula pasportnya bagi kegunaan sementara.

Ia bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu ke Singapura untuk melawat anak perempuannya yang dijangka akan melahirkan anak kedua tidak lama lagi.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said membenarkan permohonan pelepasan pasport berkenaan bermula 20 Oktober sehingga 22 November ini.

Kamaluddin berkata, mahkamah membenarkan permohonan itu selepas mendapati terdapat alasan yang munasabah.

Pada waktu itu, Naji sedang berdepan dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan selepas disabitkan bersalah dalam perbicaraan kes SRC International bernilai RM42 juta.

3. Sukar laksana tugas jika tiada pasport

Mahkamah Tinggi pada 3 Februari menolak permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, supaya pasport antarabangsanya dikembali secara kekal, bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan lancar.

Hakim membuat keputusan itu selepas menekankan Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua individu sama di sisi undang-undang dan tiada sesiapa atau golongan masyarakat yang boleh diberi keistimewaan serta melangkaui undang-undang.

1455645

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

BACA LAGI: [VIDEO] Kecoh Langkah Dubai, Puad Zarkashi cadang J-KOM dirombak sepenuhnya

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelepasan sementara bagi membolehkan Presiden Umno itu untuk membuat pasport diplomatik untuk urusan rasmi.

Sebelum itu, Ahmad Zahid dalam permohonannya bagi mendapatkan pelepasan pasport kekal memaklumkan beliau mengalami kekangan untuk melaksanakan tugasnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dalam menjalankan tugasan rasmi, Ahmad Zahid berkata, beliau dikehendaki berada di dalam dan luar negara yang memerlukan pasport berada dalam pegangannya sendiri.

Beliau ketika itu sedang berdepan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram