SPRM peroleh semula wang, aset 1MDB bernilai lebih RM29.03 bilion


  • Massa
  • Jumaat, 09 Feb 2024

SPRM berjaya memperoleh semula wang termasuk aset berjumlah RM23,911,460.90 1MDB, hasil daripada pemulihan aset dana 1MDB dalam dan luar negara yang dijalankan secara berterusan.

SEBANYAK RM29.03 bilion aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjaya dipulangkan sejak tahun 2019 sehingga kini.

Kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama daripada agensi luar negara.

Terbaharu, SPRM berjaya memperoleh semula wang termasuk aset berjumlah RM23,911,460.90 1MDB, hasil daripada pemulihan aset dana 1MDB dalam dan luar negara yang dijalankan secara berterusan.

Wang tunai dan aset itu diperoleh semula melalui proses lucut hak termasuk di mahkamah selain penyerahan secara sukarela melibatkan lima individu dan seterusnya telah dipulangkan semula kepada kerajaan Malaysia.

Menurut SPRM, kejayaan memperoleh semula wang itu adalah daripada susulan operasi menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM pada tahun 2023 dan terbaharu pada 5 Februari lalu.

"Antara wang tunai yang ditemui, iaitu berjumlah RM556,275.64 berjaya diperoleh pada 30 Ogos 2023 daripada Pegawai 1MDB, Nurzahid Taib yang menerima dana 1MDB bagi Projek Maximus dan Projek Catalyze yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Turquoise Coast Offshore Incorporated, yang mana individu ini mempunyai kepentingan.

"Wang ini telah diperoleh menerusi Perintah Pelepasan Akaun di bawah Seksyen 60 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) pada 26 Jun 2023," kata SPRM dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: Watak utama siasatan 1MDB, Roger Ng sudah berada di Malaysia — KPN

imdb2

Kejayaan memperoleh semula wang ini adalah daripada operasi menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB yang dijalankan AML SPRM.

BACA LAGI: Kebenaran akan terbongkar, Jho Low bakal dihantar pulang ke Malaysia

Jelas SPRM, pada 29 September 2023, wang berjumlah RM4,551,399.45 telah berjaya dipulangkan kepada kerajaan menerusi penyerahan secara sukarela oleh Pegawai Khas kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Effendi iaitu menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland.

Sementara itu, pada 8 November 2023, Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur memberikan perintah melucut hak tiga unit kondominium milik Pegawai Penasihat Hal Ehwal Luar Negeri kepada Najib, iaitu Mohammad Kamal Yan Yahaya berjumlah RM7.05 juta.

Agensi itu memaklumkan, individu tersebut menerima dana 1MDB menerusi Projek Magnolia, Projek Maximus dan Projek Catalyze ke dalam akaun syarikat Spring Elite International Limited di BSI Bank, Singapura, yang mana beliau mempunyai kepentingan.

Exclusive interview with Jho Lo @  Low Taek Jho on 28 July 2010.

Jho Low

"Ketiga-tiga proses pemulihan aset ini telah diperoleh susulan perbicaraan ke atas bekas pegawai bank di Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau lebih dikenali sebagai Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat pada Februari 2022 atas dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.

"Susulan proses pemulihan aset yang giat dijalankan ini juga, pada 5 Februari 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan harta-harta milik sekutu kepada Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho iaitu Jerome Lee Tak Loong dan isterinya, Koay Ying Ying di Malaysia dan di Singapura yang keseluruhannya berjumlah RM11,753,785.81 dilucut hak kepada SPRM.

"Permohonan lucut hak ini telah dibuat di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 64 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram