PADA Selasa, Kerajaan Kelantan mengumumkan pembinaan Terminal Bas Kota Bharu (KB) yang sebelum ini ditunggu-tunggu penduduk di bandar tersebut bakal siap menjelang 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, projek tersebut akan menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan negeri.
Ujarnya, penetapan tarikh tersebut adalah selari dengan tarikh bermulanya operasi tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Bagaimanapun, Hilmi berkata, terdapat beberapa pindaan terpaksa dilakukan terhadap komponen dan nilai pembangunan, nilai serta jadual kerja perancangan asal pembinaan stesen berkenaan.
"Cuma ada berlaku pindaan komponen pembangunan sebagaimana dirancang dan berlaku perubahan antara faktor utama ECRL tidak membenarkan KB Sentral 'tap masuk' (disambung) ke stesen ECRL.
"Kalau kita nak laksanakan KB Sentral, penumpang ECRL kena turun dulu dan perlu ambil jalan baru nak naik ke KB Sentral.
"Sedangkan asal kita ialah satu konsep integrated (bersepadu) antara KB Sentral, terminal bas, ECRL yang ada hab e-hailing dan kereta sewa seperti KL Sentral," katanya seperti dilaporkan media tempatan.
BACA LAGI: Budak 4 tahun di Sungai Buloh maut terjatuh tingkat 16 lepas panjat sofa tepi tingkap
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah. — Facebook/UrusSetiaPenerangandanKomunikasiNegeriKelantan
Pada masa sama, Hilmi berkata, kerajaan negeri kini juga sudah menandatangani perjanjian dengan satu syarikat untuk menyiapkan stesen berkenaan.
Untuk rekod, pembangunan KB Sentral sebelum ini dilaporkan sudah mengalami beberapa kali penangguhan atas pelbagai faktor, di sebalik keyakinan yang dinyatakan Kerajaan negeri mengenai komitmennya untuk menyiapkannya.
Malah, pimpinan pentadbiran Kelantan juga sebelum ini sudah memberikan sekurang-kurangnya tiga tarikh berbeza mengenai jangkaan tarikh siap projek berkenaan sejak tempoh tiga tahun lalu.
Pada masa sama, kedaifan keadaan terminal sementara KB Sentral yang disifatkan cukup ketinggalan itu juga pernah beberapa kali tular di media sosial.
Foto tular memaparkan stesen bas sementara di Kota Bharu, Kelantan yang berada dalam keadaan daif. — Agensi
Difahamkan, penggunaan terminal bas sementara di ibu negeri Kelantan itu sudah berlarutan sehingga lebih 13 tahun.
Susulan daripada itu, adalah tidak hairan apabila kenyataan terbaharu pimpinan Kerajaan Kelantan itu mendapat respons sinis daripada warganet yang rata-ratanya kecewa dengan tahap kemajuan projek tersebut.
Pada masa sama, netizen juga mengkritik cara perancangan pembangunan tersebut dibuat sehingga menyebabkan berlakunya penangguhan yang tidak sepatutnya berlaku.
"Tak perlu buat terus tak apa. Kami reda sahaja," tulis Mohd Mohyidin Hmk.
"Pecah tanah lagi. Sampai bila?" soal Ahmad Ulwi.
"Plan nak integrated macam syok sendiri, tak consult kontraktor yang buat ECRL dulu. Ni namanya merancang untuk gagal," kata Hafizie Aris.
"Memang la, 2027 tu PRU17 (Pilihan Raya Umum Ke17). Kalau tak siap juga, buat la gula-gula lagi kata akan siap tahun 2034 pulak," ujar Sanusi Alim.
Sebelum ini pada sekitar Julai 2022, media melaporkan Kerajaan Kelantan memberikan komitmen untuk menyiapkan pembinaan KB Sentral pada 2025 seperti dijadualkan.
BACA LAGI: Ramai tak beli baju raya, netizen kongsi kisah sedih persiapan ala kadar Aidilfitri
Tangkap layar video pelan pembangunan komponen KB Sentral yang dibina berdekatan stesen ECRL.
Dalam pada itu, terdapat juga warganet yang berpandangan bahawa Kerajaan Negeri dan Persekutuan seharusnya bekerjasam dengan sebaiknya bagi merealisasikan pembinaan stesen tersebut.
Ini kerana menurutnya, KB Sentral dijangka bakal memainkan peranan penting termasuk dalam memastikan kemajuan pembangunan bandar di sempadan yang berdekatan.
"Pembangunan bandar sempadan amat penting bagi negeri Kelantan dan negara. Bandar sempadan kita suram, bandar mati. Rantau Panjang, Kelantan perlu pembangunan.
"Diharap kerajaan persekutuan dan Perdana Menteri meluluskan permohonan dari negeri Kelantan ini.
"Baik untuk ekonomi negara selari dengan hasrat dan hasil lawatan Perdana Menteri ke Thailand tempoh hari bagi membangunkan sosial ekonomi sempadan negara," tulis Ayu Nur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram