JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) kini sedang melakukan siasatan termasuk semakan saman melibatkan treler yang terbabas merempuh 10 kenderaan di kilometer 11.1 Lebuhraya Pasir Gudang-Perling menghala ke Perling di Johor Bahru, Johor pada Isnin lalu.
Agensi pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal oleh JPJ itu turut melibatkan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan JPJ (JISA).
Agensi itu menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
"JPJ mengambil tindakan awal dengan menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan JPJ (JISA) serta termasuk semakan saman pernah dikeluarkan kepada pemandu atau syarikat lori treler tersebut.
"Pada masa sama, JPJ juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan laporan siasatan kemalangan.
"Seterusnya APAD dalam tindakan untuk mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pengendali berlesen terlibat setelah mendapatkan Laporan Audit Keselamatan dan Pemeriksaan JPJ (JISA) dan Laporan Pemeriksaan Kenderaan Selepas Kemalangan PUSPAKOM bagi mendapatkan kesahihan kes kemalangan," katanya.
BACA LAGI: Ramai tak beli baju raya, netizen kongsi kisah sedih persiapan ala kadar Aidilfitri
BACA LAGI: Budak 4 tahun di Sungai Buloh maut terjatuh tingkat 16 lepas panjat sofa tepi tingkap
Dalam pada itu, agensi itu memaklumkan pihaknya kini sedang menunggu laporan teknikal siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan terbabit.
Ujarnya, laporan tersebut dilakukan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan dijangka diperoleh dalam masa terdekat.
Pada masa sama, APAD memaklumkan, siasatan awal dilakukan PDRM mendapati kemalangan tersebut berlaku apabila treler dipandu seorang lelaki warga tempatan terbabas selepas mengelak sebuah kereta yang mengubah laluan dari lorong tengah ke lorong kanan.
Agensi itu berkata, siasatan awal melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) juga kini sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan seterusnya memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.
Kemalangan yang berlaku pada pukul 4.20 petang Isnin lalu itu menyaksikan sebuah treler merempuh 10 kenderaan lain di laluan bertentangan lebuh raya berkenaan.
Insiden kejadian menakutkan itu turut tular di sosial.
Dalam insiden tersebut, dua pemandu wanita dan seorang pemandu lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 60-an mengalami luka di bahagian muka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram