TINDAKAN murni seorang pemandu lori membantu mangsa kemalangan berakhir tragedi apabila dia maut dirempuh lori dilanggar sebuah kenderaan lain dalam kemalangan di Kilometer 329.8 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran, Kerteh, Terengganu, pada awal pagi Isnin.
Dalam kejadian pada pukul 2.35 pagi itu, mangsa, R Magendiran, 52, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan lain.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum insiden tersebut, lori muatan baja dipandu Magendiran terlibat dalam kemalangan sebuah lori lain di lokasi sama.
BACA LAGI: Ambil ilham suasana KL 1935, jurutera ini mula inisiatif berbasikal ke tarawih
Akibat insiden tersebut, lori terbabit yang dilanggar kenderaan dipandu mangsa terbalik di lorong kanan lebuh raya berkenaan.
"Magendiran kemudiannya turun membantu pemandu lori terbabit yang terselamat tanpa kecederaan keluar dari kenderaannya.
"Tidak lama selepas itu, sebuah kenderaan Ford Ranger tiba dari arah Kuantan gagal mengelak lalu merempuh belakang lori tanpa muatan berkenaan,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Menurut Hanyan, rempuhan daripada kenderaan pacuan empat roda itu menyebabkan lori terbabit terseret sebelum terkena tubuh Magendiran yang berasal dari Kuantan, Pahang.
Beliau berkata, pemandu kenderaan Ford Rangers berusia 35 tahun turut mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki dan dada. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram