Budak 4 tahun di Sungai Buloh maut terjatuh tingkat 16 lepas panjat sofa tepi tingkap


  • 112
  • Ahad, 24 Mac 2024

Anggota polis didapati sudah berada di lokasi kejadian. — Facebook

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 rumahnya di Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh, Selangor pada Ahad.

Menerusi maklumat dikongsikan di media sosial, mangsa yang juga anak bongsu di dalam keluarga terbabit terjatuh selepas dia memanjat sofa yang diletakkan di tepi tingkat kediaman tersebut.

Ketika kejadian, ahli keluarga mangsa dikatakan sedang tidur.

432896091_726361729658790_3255157716787577888_n

Mangsa terjatuh dari tingkat 16 di blok kediamannya. — Facebook

Beberapa gambar yang tersebar di media sosial, mangsa dilihat terjatuh berdekatan kawasan parkir kereta di kuarters terbabit.

Pihak polis juga didapati sudah berada di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Hafiz Muhammad Nor mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, insiden itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika ibu bapa kanak-kanak itu sedang tidur.

Jelasnya, siasatan awal mendapati juga mendapati ketika ibu mangsa terbangun, kanak-kanak malang itu sudah berada di bahagian luar jendela ruang tamu yang telah terbuka.

"(Ibunya) bagaimanapun tidak sempat mendapatkan mangsa sebelum mangsa terjatuh ke bawah," katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa kanak-kanak lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.

Kes disiasat sebagai kejadian mati mengejut dan punca kematian masih dalam siasatan.

Mohd Hafiz turut meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi mana-mana balai berdekatan atau IPD Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram