SEORANG warga emas berusia 80 tahun dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumahnya pada petang Isnin dipercayai untuk pergi ke bazar Ramadan terletak berdekatan rumahnya di Kampung Parit Haji Yusof, Yong Peng, Johor.
Anak lelakinya, Hazli berkata, dia menyedari mengenai kehilangan tersebut selepas ayahnya, Subakir Latipan tiada di rumah ketika dia pulang dari tempat kerjanya sekitar pukul 6.45 petang Isnin.
"Kebiasaannya petang dia keluar pergi bazar dekat Parit Yaani. Jadi bila saya balik kerja waktu itu memang tengah hujan lebat.
"Tapi apabila balik semalam, dekat rumah saya tengok rumah masih bergelap, tingkap belum bertutup dan motor pun tiada," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Hazli berkata, apabila ayahnya itu masih tidak pulang selepas waktu berbuka, dia dan sepupunya mula melakukan pencarian di sekitar kawasan kampung tersebut sehingga waktu malam.
Ujarnya, laporan juga dibuat di Balai Polis Yong Peng pada malam Isnin selepas usaha awal mereka untuk mencari gagal.
BACA LAGI: Ramai tak beli baju raya, netizen kongsi kisah sedih persiapan ala kadar Aidilfitri
BACA LAGI: Budak 4 tahun di Sungai Buloh maut terjatuh tingkat 16 lepas panjat sofa tepi tingkap
Dalam pada itu, berkongsikan perkembangan terkini, Hazli berkata, pihaknya menemui petunjuk baharu pada Selasa sekitar pukul 2 petang selepas motosikal dinaiki ayahnya ditemui orang awam di dalam satu parit berdekatan Kampung Sejagong, Sri Medan, Batu Pahat, Johor.
Menurutnya, kawasan penemuan itu terletak kira-kira 30 minit hingga satu jam perjalanan dari rumahnya.
"Jumpa motor tapi orang tidak ada," katanya yang tinggal berdua bersama ayahnya itu di kediaman tersebut.
Sementara itu, Hazli memaklumkan ayahnya baru-baru ini pernah hilang sebentar selepas sesat ketika hendak pergi ke pekan Yong Peng.
Dalam kejadian sekitar enam bulan lalu itu, dia berkata, ayahnya yang juga mengalami masalah pendengaran bagaimanapun pulang semula ke rumah pada tengah malam selepas keluar pada waktu siang hari.
"Tengah hari itu dia keluar untuk pergi bank di Yong Peng, tapi kemudiannya dia sesat. Pukul 11 malam baru balik," ujarnya.
Difahamkan, usaha bagi mencari Subakir kini turut melibatkan pasukan bomba dan polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram