[VIDEO] Hilang kawalan elak motor, peniaga bazar Ramadan terbabas langgar pokok, kuih bertaburan di Shah Alam


  • Massa
  • Khamis, 21 Mac 2024

Keadaan kereta mangsa yang terbalik serta barang jualan bertaburan di atas jalan selepas kemalangan di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor pada Rabu. — Facebook/Aza Radzali

DUGAAN buat seorang peniaga bazar Ramadan apabila terlibat dalam kemalangan di Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Ketika kejadian, mangsa, Mohammad Mohamad Zukeri yang menjual kuih-muih dalam perjalanan ke lokasi perniagaannya yang terletak di bazar Seksyen 18.

Mohammad berkata, punca kemalangan adalah kerana mahu mengelak sebuah motosikal yang datang dari belakang secara mengejut sebelum hilang kawalan dan terbabas melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

"Waktu itu saya nak elak motosikal, terus terbabas langgar pokok dan terbalik," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Caruman PERKESO tertunggak lebih 7 tahun, mahkamah arah majikan bayar 291 pemandu lori

Mohammad yang memandu kereta jenis Toyota Avanza berkata, nasib menyebelahinya kerana dia terselamat dan hanya cedera ringan di muka dan badannya.

Pada masa sama, jelasnya, hanya dia seorang yang berada di dalam kereta terbabit ketika kejadian berlaku.

Mohammad juga sudah mendapatkan rawatan sepenuhnya di hospital di Seksyen 7 dan kini sedang berehat di rumahnya.

"Saya baru keluar daripada hospital, syukur tiada apa yang serius. Hari ini baru saya nak pergi buat laporan di balai polis," katanya.

Bapa kepada dua orang anak itu menambah, dia terpaksa menghentikan operasi perniagaannya buat sementara waktu sehingga keretanya dibaiki.

"Buat masa sekarang, saya kat rumah tak boleh berniaga, kereta habis rosak. Mungkin tunggu dalam masa seminggu lebih juga," katanya lagi.

BACA LAGI: 'Ustaz, saya tiada duit,' kisah ibu 2 anak diabai suami minta izin tidur di masjid buat ramai insaf, lebih bersyukur

432675612_7955874847790892_1998513039604198815_n

Kuih-muih yang tidak dapat dijual akibat kemalangan itu. — Facebook/Aza Radzali

Dalam kejadian itu, dapat dilihat bumper depan kereta mangsa yang remuk, cermin pecah serta kuih-muih untuk dijual di bazar juga bertaburan di atas jalan raya.

Terdahulu, seorang individu memuat naik video mangsa bersama isteri dan dua anaknya selepas kejadian di Facebook dengan menggunakan akaun Shahrul Izzat.

Dalam video tersebut, Shahrul dikatakan bertemu mangsa di hospital tersebut serta membantu menyalurkan sumbangan daripada orang ramai.

"ALLAH beri ujian pada hamba-Nya yang disayangi, Allamdulillah dapat jumpa owner dekat hospital seksyen 7 Shah Alam dan dapat beri sedikit sumbangan pada owner, semoga dipermudahkan urusan beliau, sama-sama kita bantu.

Setakat berita ini ditulis, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kemalangan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram