Lepas 7 tahun, misteri kehilangan model Ukraine di bandar paling selamat di dunia terus jadi tanda tanya


  • Benua
  • Ahad, 24 Mac 2024

Daria kali terakhir dilihat menerusi rakaman kamera keselamatan di bandar tersebut pada 6 Ogos 2016. — Agensi

DI seluruh dunia, kes kehilangan orang boleh dikatakan berlaku setiap hari.

Menurut pangkalan data Orang Hilang dan Tidak Dikenal Pasti Kebangsaan (NamUS) yang dibiayai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, dilaporkan lebih kes 600,000 orang hilang berlaku di seluruh dunia setiap tahun.

Berdasarkan angka tersebut, ini bermakna terdapat kira-kira 1,643 individu hilang berlaku setiap hari.

Daripada jumlah tersebut, boleh dikatakan tidak semua pencarian yang dilakukan berjaya menjumpai individu yang dimaksudkan.

Malahan, dalam sesetengah kes, orang hilang tersebut terus lenyap tanpa sebarang khabar berita.

Fenomena tersebut menyebabkan kebanyakan kes berkenaan terus menjadi misteri tanpa sebarang jawapan.

Di China, seorang model dari Ukraine yang dikenali sebagai Daria Bulba hilang secara tiba-tiba di siang hari semasa berjalan di tengah-tengah kesibukan bandar raya Shanghai pada 2016.

Kehilangannya pada awal pagi 6 Ogos tahun tersebut menimbulkan tanda tanya yang cukup besar buat pihak berkuasa di bandar berkenaan yang dikenali sebagai antara tempat paling selamat di dunia.

Ini kerana hampir setiap jalan di kota tersebut dilengkapi dengan kamera keselamatan.

Untuk rekod, Daria yang ketika itu berusia 21 tahun mula kerap ke bandar tinggal di bandar itu selepas dia menandatangani kontrak bersama agensi model BYS pada 7 April 2016.

BACA LAGI: Ambil ilham suasana KL 1935, jurutera ini mula inisiatif berbasikal ke tarawih

WhatsApp Image 2024-03-24 at 10.36.30 PM

Daria berusia 21 tahun ketika dia hilang. — Agensi

Selepas mula datang ke Shanghai, dia juga dilaporkan sentiasa berhubung dengan keluarganya setiap hari.

Bagaimanapun, pada 6 Ogos 2016, gadis itu tidak muncul di apartmen yang dikongsi bersama rakannya.

Kebimbangan dalam mengenai kehilangannya mula timbul selepas dia masih tidak dapat dihubungi dua hari seterusnya.

Pada awalnya, rakan-rakannya memberitahu keluarganya bahawa Daria berkemungkinan pergi ke kawasan luar bandar yang memiliki capaian internet yang lemah sehingga menyukarkan perhubungan.

Pada masa sama, rakan penyewanya turut memberitahu bahawa kali terakhir dia melihat gadis itu adalah pada 6 Ogos, iaitu hari terakhir Daria dilihat.

Pada waktu itu, menurutnya, Daria dipercayai mahu berjumpa dengan seseorang individu yang tidak dikenalinya.

Namun selepas beberapa hari keberadaannya tidak diketahui, ibu bapa gadis terbabit mula berkomunikasi dengan kedutaan China di Ukraine bagi meminta proses pencarian dilalukan.

Susulan daripada itu, pihak berkuasa China memulakan siasatan dengan melihat kembali video pengawasan di lokasi terakhirnya dilihat.

Berdasarkan rakaman diperolehi, Daria didapati sedang berjalan di tepi benteng sebuah sungai pada waktu awal pagi yang sudah cerah sebelum dia terus hilang apabila melintasi tempat yang menjadi titik buta kamera keselamatan di lokasi.

Siasatan polis terhadap senarai panggilan telefon pintar Daria turut menemui banyak panggilan pelik.

Salah satu daripada panggilan tersebut dipercayai termasuk individu yang dipercayai ditemuinya sebelum dia menghilangkan diri.

Bagaimanapun, tanpa sebarang petunjuk yang boleh digunakan, pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan lanjut.

Sementara pada itu, bapa kepada Daria turut datang ke Shanghai dua bulan selepas kehilangannya untuk mencari anaknya.

Dalam tempoh tersebut, polis turut melakukan siasatan termasuk di sungai berdekatan lokasi gadis tersebut dilihat kerana khuatir Daria mungkin terjatuh ke dalam air dan menjadi mangsa lemas.

BACA LAGI: [VIDEO] AS dah keluar amaran 2 minggu awal, lebih 60 maut serangan kumpulan bersenjata, pakai baju celoreng di Moscow

WhatsApp Image 2024-03-24 at 10.36.30 PM (2)

Daria yang ketika mula tinggal di Shanghai selepas dia menandatangani kontrak bersama agensi model BYS pada 7 April 2016. — Agensi

Bagaimanapun, usaha tersebut masih menemui jalan buntu dengan dia masih tidak ditemui.

Susulan daripada itu, polis tempatan mengklasifikasikan kehilangan Daria sebagai bunuh diri.

Ini kerana mereka percaya gadis tersebut berdepan dengan tekanan kerja yang begitu teruk sehingga menyebabkannya mengambil keputusan tersebut

Namun, penjelasan tersebut disifatkan keluarganya sebagai tidak logik dengan mengambil kira kehilangan secara tiba-tiba gadis berkenaan daripada pengawasan kamera di lokasi dia kali terakhir dilihat.

Dalam pada itu, terdapat beberapa teori yang timbul susulan daripada kes kehilangan Daria.

Menurut teori pertama, Daria dipercayai mati kerana berdepan dengan ketagihan pengambilan dadah, iaitu sesuatu yang turut diakui teman sekerjanya.

Teori kedua yang agak popular adalah ialah gadis itu dikatakan terperangkap ke kancah pelacuran sehingga menyebabkan kehilangannya.

Kedua-dua spekulasi yang cuba menjelaskan kehilangannya itu mengambil kira bahawa masalah pengambilan dadah dan pekerjaan sambilan dalam industri seks merupakan perkara biasa dalam dunia model.

Pada masa sama, agensi model yang menandatangani Daria kemudiannya juga dilaporkan muflis.

Misteri kehilangan Dahlia masih terus menjadi tanda tanya selepas lebih tujuh tahun dia kali terakhir dilihat menerusi kamera pengawasan di bandar berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram