Pelajar UniMAP maut, rakan sekampus parah kereta rempuh pokok ketika pulang majlis buka puasa


  • 112
  • Ahad, 24 Mac 2024

Fatin Atiqah Nordin yang merupakan pelajar UniMAP maut dalam kemalangan semasa pulang dari majlis berbuka puasa.

SEORANG pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Jalan Changlun-Kuala Perlis berhampiran jejambat Pauh di Arau, pada Sabtu malam.

Difahamkan, mereka berdua dalam perjalanan pulang dari sebuah majlis berbuka puasa di UniMAP.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pelajar perempuan yang juga penumpang kenderaan itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandunya seorang pelajar lelaki cedera parah dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam.

"Siasatan awal mendapati kenderaan dari arah Changlun menghala ke Kuala Perlis itu dipercayai terbabas sendiri. Semasa melalui selekoh berhampiran jejambat Pauh, Arau kereta ini dipercayai hilang kawalan ke kiri jalan.

"Sebelum melanggar tiang lampu JKR (Jabatan Kerja Raya) dan kemudian melanggar pokok di bahu kiri jalan sebelum berpusing ke tengah jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI: Irfan Harris rindu puasa PKP, gembira masih dapat jadi imam solat tarawih bersama keluarga

WhatsApp Image 2024-03-24 at 3.05.23 PM

BACA LAGI: 'Jangan sebab tengok kisah orang, kita jadi keras hati', Diana Danielle ulas isu bahagi 2 belanja rumah tangga

Ahmad Mohsin berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk proses bedah siasat dan pelajar lelaki yang cedera parah itu turut mendapatkan rawatan di hospital sama.

Sementara itu, UniMAP dalam kenyataan mengesahkan kedua-dua pelajar terbabit iaitu Fatin Atiqah Nordin, 22, yang maut dan Muhammad Ameer Afiq Husni, 22, yang cedera parah merupakan pelajar dari Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram