[VIDEO] Kes parcel selalu hilang, abang kurier bongkar perangai sebenar 'budak flat'


  • Massa
  • Isnin, 25 Mac 2024

Tangkap layar CCTV memaparkan seorang kanak-kanak membawa lari parcel dipercayai milik orang lain.

KES kecurian bungkusan atau parcel sememangnya bukan sesuatu yang mengejutkan bagi rakyat Malaysia.

Terbaharu, seorang penghantar barang mendedahkan bahawa ia adalah perkara yang kerap berlaku terutamanya dalam kalangan penduduk rumah pangsapuri kos rendah (rumah flat).

Perkongsiannya itu dimuat naik selepas tularnya sebuah video kamera litar tertutup (CCTV) sejak Ahad memaparkan tindakan seorang kanak-kanak mencuri bungkusan milik individu lain.

BACA LAGI: Wajib isi PADU, ada 4 lagi sistem lebih kurang sama pernah diisi penjawat awam terutamanya guru

BACA LAGI: Jangan bebankan guru, masalah buli hanya boleh selesai jika ada jawatan warden

Dalam video tersebut, kanak-kanak itu dilihat mengambil satu bungkusan dari dalam pagar rumah sebelahnya sebelum melarikan diri.

Pada masa sama, tiada individu dewasa berhampiran kawasan itu malah, pemilik rumah juga berkemungkinan tidak menyedari perbuatan kanak-kanak itu.

Mengulas lanjut, penghantar barang menggunakan akaun Instagram Boboy Iskandar berkata, kejadian yang berlaku pada Sabtu itu juga pernah terjadi pada pelanggannya di rumah pangsapuri.

"Kisah ini kisah memang realiti. Aku bekerja sebagai kurier, pernah beberapa kali terjadi barang pelanggan aku selalu hilang.

"Aku selalu bagitahu pelanggan barang dah letak dalam peti surat atau pagar, tetapi bila dia balik barang selalu hilang.

"Jadi, pelanggan mula tuduh aku tak amanah," kongsinya.

Lebih menambah berangnya apabila mengetahui bahawa kejadian itu berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab kanak-kanak yang menghuni di kawasan rumah tersebut.

Katanya, ibu bapa mereka juga tidak bersikap terbuka untuk menerima teguran tentang sikap anak-anak yang tanpa rasa bersalah mengambil hak orang lain.

"Rupa-rupanya budak flat selalu curi, bila aku tangkap, mak bapak mereka marah aku balik.

"Dah akhir-akhir baru budak tu mengaku. Baru lima tahun dah pandai buat kerja mencuri, bila kita marah, kita pula yang kena," luahnya.

Namun, sehingga kini, belum ada perkembangan terbaharu dikongsikan pemilik video berhubung kejadian itu.

Belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berkenaan kejadian sama setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram