[VIDEO] Konvoi sahur bertukar tragedi berdarah, 2 warga Singapura maut dirempuh treler di Yong Peng


  • 112
  • Sabtu, 23 Mac 2024

Keadaan motosikal mangsa yang dirempuh lori di lorong kecemasan Kilometer 111.4, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Yong Peng awal pagi Sabtu. — Facebook/ Info Kemalangan & Bencana Malaysia

KONVOI lapan lelaki warga Singapura untuk bersahur di Pagoh, Muar bertukar tragedi ngeri apabila dua daripada mereka maut selepas motosikal dirempuh lori kontena di Kilometer 111.4 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Yong Peng, Johor Bahru awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika lapan lelaki terbabit menunggang motosikal secara konvoi dari Singapura, untuk bersahur.

Ketika dalam perjalanan, tayar sebuah motosikal ditunggang konvoi terbabit dilaporkan pancit dan penunggangnya berhenti di Rehat dan Rawat (RnR) Yong Peng.

"Menyedari kejadian, tujuh penunggang di hadapan memberhentikan motosikal mereka dan menunggu di lorong kecemasan.

"Sejurus kemudian datang, sebuah lori kontena dari arah sama yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 33 tahun, hilang kawalan lalu memasuki laluan kecemasan.

"Lori itu kemudian merempuh kumpulan konvoi terbabit menyebabkan dua daripada mereka maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI: Badan penuh lebam, Muhd Nazmie Aizat maut kena belasah dalam asrama kolej vokasional di Lahad Datu

BACA LAGI: [VIDEO] Pemergian yang dicemburui, imam meninggal dunia ketika imamkan solat Subuh di Segamat

Ismail berkata, kedua-dua mangsa maut berusia 26 tahun manakala empat lagi cedera parah dan mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

Pemandu lori bersama kelindan berusia 29 tahun serta seorang penunggang konvoi terbabit tidak cedera.

"Pemandu lori sudah direman tiga hari bermula Sabtu hingga Isnin bagi membantu siasatan. Ujian air kencing terhadap pemandu lori dapati negatif bahan terlarang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram